suria

Kes lama… Anggota polis gunting 38 seluar dalam rakan sejawat rupanya sudah dihukum

Perbuatan pelaku turut dirakam kamera litar tertutup.

 

IBU Pejabat Polis Daerah Mersing (IPD Mersing) mengesahkan mengenai kejadian pencerobohan dan khianat membabitkan perbuatan aneh iaitu menggunting seluar dalam seperti hantaran tular seorang wanita di laman Thread pada Khamis.

Menurut Ketua Polisnya, Superintenden Abdul Razak Abdullah Sani, pelaku yang merupakan seorang anggota polis sudah ditangkap dan dituduh pada 14 Mei 2024.

"Polis Dareah Mersing telah mengesan satu hantaran tular di aplikasi Threads oleh pemilik akaun @nrlhdarina.

"Semakan mendapati isu yang dinyatakan adalah berkaitan laporan polis bertarikh 9 April 2024 yang dibuat oleh seorang anggota polis bertugas di IPD Mersing.

"Laporan tersebut adalah berkaitan aduan pencerobohan rumah dan perbuatan khianat terhadap harta milik pengadu," ujarnya dalam kenyataan pada Sabtu.

Tambah Abdul Razak, pelaku juga disiasat di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan dan 427 Kanun Keseksaan iaitu pencerobohan rumah dan melakukan khianat di Mahkamah Majistret Kota Tinggi.

Malah katanya, pelaku mengaku bersalah atas kedua-dua pertuduhan dan telah dijatuhkan hukuman denda RM1,000 serta perintah berkelakuan baik selama dua tahun.

"Siasatan selari turut dijalankan ke atas pelaku di bawah peraturan-peraturan pegawai awam (kelakuan dan tatatertib) 1993 oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Polis Diraja Malaysia Kontinjen Johor.

"Hasil siasatan mendapati, pelaku dijatuhkan hukuman gantung kerja selama 15 bulan," jelasnya.

Abdul Razak juga menyatakan, individu berkenaan ditukarkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan sebelum melapor semula ke IPD Mersing pada 15 April lalu.

Ujarnya, pemindahan tersebut selepas permohonan rayuan pertukaran diluluskan atas faktor kebajikan.

 

Terdahulu, tular hantaran seorang wanita yang mendakwa 38 helai seluar dalam suaminya bersama seluar seragam polis telah digunting oleh pelaku yang juga merupakan anggota polis.

Menurutnya, perkongsian tersebut dibuat bagi mendapatkan keadilan buat suami, dirinya serta keluarga berikutan pelaku masih kekal di IPD sama.

Menerusi hantaran pada Khamis, dia juga mendakwa turut mempunyai bukti berkaitan kesalahan yang dilakukan pelaku tersebut.

"Di malam Jumaat yang mulia ini, dengan niat saya mahukan keadilan buat suami, saya dan keluarga saya... atas sebab kesihatan mental saya.

"Saya merayu pihak yang bertanggungjawab atau layak untuk menilai kes ini. Spender suami saya, 38 helai digunting beserta seluar uniform polis.

"Bukti CCTV (kamera litar tertutup) pun ada, tapi setelah diarah berpindah, si pelaku pura-pura depresi dan dapat kekal. Saya ada banyak nak ulas dan beserta bukti," ujarnya sambil menyatakan hantaran berkenaan berikutan 'suaranya' tidak didengari pihak berwajib.

Artikel Lain