suria

Debaran Tetamu Haji

Penulis (kiri) ditemani ahli keluarga yang mengiringinya ke Kompleks Tabung Haji Kelana Jaya.
ASSALAMUALAIKUM.  Tanggal 23 Februari 2000 tidak dapat saya lupakan kerana tarikh itu saya berangkat ke Tanah Suci untuk memenuhi undangan sebagai tetamu Allah bagi menjalani ibadat haji sekali gus menyempurnakan rukun Islam kelima. Alhamdulillah.

Segala usaha tidak sia-sia, semua doa terjawab sudah. Justeru, saya menunggu kedatangan hari berangkat dengan penuh debaran kerana itulah kali pertama saya bakal menjejakkan kaki menghadap Baitullah. Debaran begitu terasa terutama seminggu sebelum berangkat ke Tanah Suci.

Saya tidak selera makan, tidak nyenyak tidur dan banyak perkara yang dibuat serba tidak kena. Saya menjadi hairan juga pada diri sendiri tetapi saya kuatkan azam dan bulatkan niat bahawa pemergian saya adalah untuk beribadat mengerjakan haji.

Pada pagi sebelum berangkat, hati saya semakin sayu. Sebak melihat anak-anak yang masih kecil. Ketika itu saya mempunyai dua cahaya mata, Aliff Hazim berusia tujuh tahun manakala Humaira Qistina, 5 tahun. Aliff di tahun satu manakala Humaira sedang di tadika.

Saya yakin suami, Abdul Rahman dan kedua-dua ibu bapa saya, akan menjaga mereka dengan baik dan menyayangi mereka sepenuh hati. Namun, hati kecil saya hanya Allah sahaja yang lebih tahu. Sedih setiap kali melihat mereka yang bakal saya tinggalkan.

Sudah tentu saya berasa rindu pada mereka. Begitu juga mereka, tentu sekali merindukan kehadiran saya di depan mata mereka. Saya menyimpan gambar mereka di dalam buku bacaan saya sebagai bekalan dan ubat rindu.

Selepas solat Subuh saya mengemaskan pelbagai keperluan tambahan yang akan dibawa. Bimbang ada yang terlupa. Ibu sibuk di dapur menyiapkan pelbagai hidangan. Saudara-mara terdekat datang bertandang untuk mengucapkan selamat jalan.

“Ana jangan lupa solat sunat musafir sebelum keluar dari rumah,” pesan bapa.“Baiklah pak,” balas saya ringkas.

Selesai mandi dan lengkap berpakaian jubah seluar berpetak-petak rona kelabu kehijauan, saya mencapai sejadah dan memakai telekung untuk bersolat sunat musafir. 

Sejurus takbiratul ihram, seluruh tubuh saya menggeletar manakala air mata saya berhamburan. Tidak dapat saya mengawal emosi dalam kemuncak kesedihan. Saya ketakutan. Entah kenapa saya berasa amat takut sehingga menggeletar seluruh badan.

Dua rakaat solat saya menangis semahu hati dan memohon Allah memudahkan segala urusan perjalanan dan ibadat. Saya memohon agar diberi kesihatan dan kekuatan untuk kelancaran ibadat. Setelah lengkap bertudung rona hijau dan menyemat kerongsang pemberian ibu, saya melangkah keluar dari bilik.

Hati saya sedih bukan kepalang. Benar-benar sayu. Pelbagai perkara bermain dalam fikiran. Namun, air mata tidak lagi berlinangan ketika itu. Tujuan saya hanya satu, mengerjakan ibadat haji. Saya serahkan 100 peratus kepada Allah dan memohon agar segala-galanya berjalan lancar.

Pada jam 10 pagi saya berangkat keluar dari rumah ibu bapa di Kampung Pandan. Setelah azan diperdengarkan oleh sahabat bapa saya, Haji Samad, saya melangkah keluar dengan penuh yakin dan kesyukuran. 

Jiran tetangga turut menasihat dan berpesan agar menjaga kesihatan dan diri sendiri. Sepanjang perjalanan ke Kompleks Haji Kelana Jaya, hati saya tenang. Saya tidak lagi terasa cuak atau cemas. Perasaan hiba tidak lagi terasa. Saya benar-benar tenang dan tidak sabar untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci.

Saudara-mara dan adik-beradik saya turut menghantar ke Kompleks Haji Kelana Jaya. Yang kecil dan yang tua semua tampak gembira. Debaran sudah hilang dan saya melangkah turun ke Kompleks Haji Kelana Jaya dengan penuh ketenangan.

Beg disusun dan kakitangan LTH di kompleks haji menyerahkan pelbagai keperluan tambahan dan tajaan kepada jemaah. Alhamdulillah. segala urusan berjalan lancar dan seperti dirancang. Sanak-saudara jemaah yang bakal berangkat ke Tanah Suci berpusu-pusu.  Saya bertemu ibu saudara suami dan bapa saudara suami yang turut berangkat dengan saya.  



Dalam kesibukan dan kesesakan di kompleks itu, tiba-tiba dua wanita menghampiri suami saya dan memohon agar menjaga ibunya yang sering uzur dan lelah.

“Tuan, minta tuan tolong tengok-tengokkan ibu saya ye,” pinta si anak.

“Saya tak pergi,” balas suami.

“Oh ye ke? ingatkan tuan pergi haji sekali,” balas wanita berkenaan.

“Isteri saya pergi,” ujar suami saya sambil menunjukkan saya kepada wanita itu.

“Adik, boleh tolong tengokkan mak akak tak?” soal wanita itu.

“Insha Allah,” balas saya ringkas.

“Mak akak ada lelah dan tak boleh jalan jauh-jauh,” ujar wanita itu.

“Oh…insha Allah, saya tengokkan. Ada bawa ubat tak?” tanya saya.

“Ada. Ubat-ubat ada. Tapi minta adik ingatkan mak akak agar makan ubat setiap hari,” kata wanita berkenaan.

“Baiklah. Saya ingatkan nanti. Lebih mudah jika dapat satu bilik dengan saya kan. Boleh saya ingatkan,” balas saya tersenyum.

Alhamdulillah, kami satu maktab tetapi bilik belum ditentukan lagi. Namun, peluang berjumpa makcik berkenaan sudah tentu ada kerana kami akan ditempatkan di dalam sebuah bangunan yang sama di Madinah dan Makkah.

Saya bersalaman dengan keluarga makcik itu. Maaf saya sudah terlupa nama makcik itu tetapi anak-anaknya memohon saya melihat-lihat ibu mereka dan mengingatkannya agar ambil ubat setiap hari. Itu sebuah amanah.

Namun, saya maklumkan juga kepada anak-anak makcik itu bahawa saya juga kali pertama melangkah ke Tanah Suci tetapi saya akan berusaha semampu yang boleh untuk mengingatkan makcik itu.

Saudara mara dari Singapura turut menemani penulis ke Kelana Jaya.

Sebelum memasuki ke dalam dewan di dalam kompleks haji, seorang lagi waris jemaah haji berpesan agar menengok emaknya yang juga uzur dan sering tidak sihat. Sekali lagi saya ucapkan insha Allah dan akan membantu jika diperlukan mengikut kemampuan saya.

“Belum pergi lagi, dah macam-macam orang pesan ye,” ujar saya pada suami.

“Tolonglah jika boleh tolong,” balas suami.

“Iyelah. Sebab saya muda, jadi orang mesti harapkan kita jaga yang lebih berusia,” balas saya.

Tidak pula saya terfikir ia satu beban kerana bagi saya ia amanah dan kepercayaan yang telah diberikan kepada saya untuk melihat-lihat ibu mereka. Mungkin jika saya di tempat mereka, saya juga akan meminta orang lain menjaga dan memantau ibu saya.

“Kesian…tapi tak mengapalah. Biarlah saya bantu mana yang boleh,” ujar saya pada suami.

“Iyelah. Tolonglah mana yang boleh jika mereka minta. Tapi ingatkan makcik-makcik tu agar makan ubat dan jaga makan minum,” pesan suami lagi.

“Baiklah…” balas saya.

Sebelum Zuhur, semua jemaah dinasihatkan supaya memasuki ke dalam dewan di dalam kompleks haji. Semua bersalaman dan mengucapkan selamat jalan. Yang pasti, mereka yang tinggal menangis kesedihan tetapi yang bakal bergelar jemaah haji, tampak ceria penuh kesyukuran. Begitu juga saya.

Ibu menangis semahu hati. Beliau sedih memikirkan saya sendirian manakala bapa pula tampak tenang walau sering menundukkan pandangan. Suami pula menahan kesedihan. Anak-anakku riang mungkin belum mengerti perpisahan yang panjang.

Saya melangkah bersama-sama ibu bapa saudara suami. Berjalan beriringan memasuki dewan untuk mendengar taklimat berangkat. Sebelum itu, kami menikmati hidangan tengah hari dan bersolat Zuhur. Selesai solat, kami berehat seketika di dalam dewan sementara menunggu kedatangan bas yang bakal membawa kami ke Lapangan Terbang Antarabangsa (KLIA) di Sepang.



Sepuluh bas menunggu jemaah haji dan kami dibawa ke lapangan terbang diiringi ‘rider’. Terasa seperti orang kenamaan ketika itu.  Bas membawa kami terus ke landasan di KLIA untuk menaiki pesawat Saudi Airlines yang sedia menunggu.

Setelah semua hampir 400 jemaah menaiki pesawat itu, kami berangkat tepat jam 5 petang dari KLIA ke Madinah. Penerbangan terus tidak memenatkan. Selepas hampir sembilan jam, kami tiba di lapangan terbang Madinah dan setelah segala urusan selesai, kami tiba di depan hotel penginapan dikenali sebagai Jawharat Elias yang terletak di depan tanah perkuburan Baqi’.

Ikuti catatan saya mengenai keindahan Madinah yang menjanjikan ketenangan hakiki pada minggu akan datang, insha Allah.

Baitullah, Makkah, Tanah Suci

Artikel Lain