suria

Polis Tahan 39 Penternak, Petani Berhimpun Secara Haram

Lebih 200 petani dan penternak dari 24 kawasan sekitar negeri mengadakan protes di hadapan Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini bagi membantah tindakan pengusiran, melalui saman mahkamah, dari tanah yang mereka diusahakan.

IPOH: Polis menahan 39 penternak dan petani termasuk empat wanita kerana mengadakan perhimpunan haram di hadapan Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, bagi membantah tindakan kerajaan negeri meminta mereka mengosongkan tanah pertanian.

Mereka yang ditahan membabitkan pekebun sayur dan penternak ikan berusia antara 25 hingga 50 tahun pada pukul 2.45 petang dan dibawa ke Ibu pejabat Polis Daerah Ipoh (IPD) untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 143 kerana berhimpun secara haram.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Senior Asisten Komisioner Goh Kok Liang berkata, polis terpaksa mengambil tindakan menahan mereka kerana enggan mengikut arahan supaya bersurai.

Beliau berkata, mereka turut membawa pelbagai jenis tanaman dan ikan serta memasang payung seolah-olah seperti pasar menyebabkan penguatkuasa Majlis Bandaraya Ipoh merampas barangan berkenaan.

Kira-kira 200 petani dan penternak ikan dari 24 kawasan di Perak berhimpun sejak pukul 8.30 pagi untuk meminta Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir campur tangan dalam usaha mereka untuk mengekalkan ativiti pertanian yang diusahakan di atas tanah kerajaan antaranya di Tronoh, Chenderong, Tanjung Tualang dan Malim Nawar.

Wakil Gabungan Selamatkan Petani dan Penternak Perak, K.Kunasekaran berkata  pengusaha pelbagai jenis tanaman dan ternakan dalam kawasan seluas 10,000 hektar di negeri ini didakwa sedang menghadapi pengusiran oleh pihak kerajaan negeri.

"Petani dan penternak telah meneroka tanah itu dan bekas lombong terbiar sejak 50 tahun lalu dan mengemukakan memorandum kepada kerajaan negeri bagi memastikan status tanah sebenar sebelum ia diluluskan kepada pihak lain untuk tujuan pembangunan," katanya.

Katanya sebanyak lapan memorandum telah dihantar sejak September tahun lepas kepada Menteri Besar Perak untuk menyelesaikan masalah mereka.--Bernama

Artikel Lain