suria

Tidak Perlu Ada Pasukan Petugas Khas - Peguam Negara

Apandi Ali

PETALING JAYA: Pasukan Petugas Khas yang dianggotai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Bank Negara Malaysia (BNM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak lagi wujud.

Perkara itu dimaklumkan menerusi kenyataan yang dikeluarkan SPRM petang Rabu bagi menjelaskan pengumuman suruhanjaya itu pada 3 Ogos lalu yang dibuat tanpa melibatkan dua agensi lain yang menganggotai Pasukan Petugas Khas itu.

"SPRM membuat pengumuman tanpa melalui Pasukan Petugas Khas selepas dinasihatkan oleh Peguam Negara bahawa tidak perlu ada Pasukan Petugas Khas.

"Sebaliknya agensi-agensi penyiasat terbabit boleh menjalankan tugas mereka berdasarkan undang-undang masing-masing," menurut kenyataan itu.

Susulan arahan terbaharu ini, kata SPRM, tiga agensi berkenaan yang mempunyai pasukan petugas khas dalaman akan mengemukakan hasil siasatan masing-masing kepada Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali.

"Pihak Peguam Negara akan membuat keputusan sama ada terdapat kes untuk didakwa di mahkamah ataupun sebaliknya," katanya.

SPRM juga menegaskan, Pasukan Petugas Khas dalamannya masih meneruskan siasatan kes SRC International dan sumbangan derma RM2.6 bilion.

"Sebagaimana telah disebutkan beberapa kali sebelum ini, SPRM menekankan  bahawa siasatan SPRM tiada kaitan dengan isu 1MDB, sebaliknya, siasatan keseluruhan kes  1MDB  dijalankan pihak polis," katanya yang berharap orang ramai akan memahami bahawa siasatan SPRM tiada kaitan dengan 1MDB.




SPRM, BNM, polis, 1MDB

Artikel Berikut

Artikel Lain