suria

Bot Karam: Lima Maut, Dua Lagi Masih Hilang

Lima disahkan maut dalam insiden bot karam di Tanjung Karang.

KUALA SELANGOR: Lima disahkan terbunuh manakala operai mencari dan menyelamat dua lagi penumpang bot karam di dua batu nautika dari pantai Bagan Sungai Kajang pada Khamis diteruskan, Sabtu.

Anggota penyelamat berkata seramai 14 individu bertolak dari jeti Bagan Pasir menaiki bot nelayan untuk upacara membuang abu mayat ahli keluarga tersayang di laut.

Malangnya, bot yang dinaiki mereka mengalami kebocoran dan mula tenggelam semasa kumpulan tersebut menghala balik ke jeti kira-kira pukul 5 petang.

Bot tersebut karam selepas dipukul ombak.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor berkata tujuh berjaya diselamat manakala lima lagi disahkan meninggal dunia.

"Kami masih belum menjumpai dua lagi mangsa yang kedua-duanya adalah lelaki. Kami memulakan operasi mencari kira-kira 8 pagi Sabtu dengan empat bot dan beberapa bot nelayan yang lain untuk mengesan mangsa," kata Penolong Pengarah Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd Sani Harul.

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Marin, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan nelayan dari Kampung Sungai Karang juga terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat itu.

Tujuh yang berjaya diselamatkan dihantar ke Hospital Tanjung Karang untuk mendapatkan rawatan.
bot karam, Tanjung Karang

Artikel Sebelum

Cuaca Diramal Baik Pagi Ini

Artikel Lain