suria

Tindakan Tegas Terhadap Pihak Sebar Isu Perkauman - Adnan

Adnan Yaakob.

KUANTAN: Tindakan tegas perlu dikenakan kepada pihak yang menyebarkan isu berkaitan perkauman di laman media sosial untuk dijadikan pengajaran kepada masyarakat, kata Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob.

Beliau berkata negara mempunyai pelbagai undang-undang berkaitan isu berkenaan, namun ia memerlukan tindakan dan penguatkuasaan yang tegas daripada pihak berkuasa supaya undang-undang itu dihormati.

"Perkara seumpama ini perlu ditangani dari akar umbi. Jika ia dicetuskan, usah biarkan ia marak menjadi api atau anda perlu melawan api itu kemudian, dan ia akan menjadi sukar.

"Kita ada undang-undang tapi sesetengah orang masih tidak menghormatinya. Perlu ada tindakan tegas, jika cakap (isu perkauman) terus bawa ke mahkamah. Jadi orang akan serik. (Sekarang) orang tak takut sebab tidak tegas," katanya.

Adnan berkata demikian kepada pemberita selepas selesai majlis Rumah Terbuka Menteri Besar Pahang di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah di sini, Jumaat yang dihadiri hampir 12,000 penduduk berbilang kaum sekitar Kuantan.

Selain itu, Adnan juga menasihatkan masyarakat agar tidak mudah melatah dan terus mengaitkan sesuatu perkara dengan isu berkaitan perkauman, seperti insiden yang berlaku di sebuah kedai telefon di Plaza Low Yat di ibu negara baru-baru ini.

"Ini tidak baik. Kita harap semua pihak menyedari jika kita tiada persefahaman dan perpaduan, kita tidak mempunyai negara lain untuk didiami.

Malaysia adalah antara negara terbaik.

"Kes sebegini biarlah pihak polis siasat dengan profesional dan adil. Kita serahkan sahaja kepada agensi yang berkenaan," katanya.

Mengulas mengenai penganjuran rumah terbuka itu, Adnan berkata majlis begitu boleh dijadikan produk pelancongan kerana ia menunjukkan perpaduan yang terjalin di antara pelbagai kaum di negara ini.

isu perkauman, Adnan Yaakob

Artikel Lain