suria

Kanak-Kanak Perempuan Maut Dilanggar Kereta Dipandu Bapa

Gambar hiasan.

SANDAKAN: Seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun maut dilanggar kereta pacuan empat roda dipandu bapanya di Taman Sejati Ujana, Batu 7, dekat sini, malam Jumaat.

Kejadian berlaku pada kira-kira 10.30 malam, ketika bapa mangsa sedang membetulkan kedudukan parkir keretanya ketika berkunjung ke rumah anggota keluarga sempena Aidilfitri.

Ketua Polis Daerah Sandakan ACP Zabidi Md Zain berkata mangsa dikenali sebagai Mutia Noraini Ayup, mati akibat kecederaan parah di kepala.

Katanya, siasatan awal mendapati mangsa bersama bapa, ibu dan tiga adik-beradiknya pergi beraya di rumah bapa saudaranya di taman perumahan itu.

Menurut Zabidi apabila tiba di hadapan rumah berkenaan, bapa mangsa yang berusia 38 tahun menurunkan semua penumpang termasuk mangsa sebelum bertindak membetulkan parkir keretanya ke arah hadapan.

Ketika itu, dia merasa seperti terlanggar sesuatu dan isterinya yang berada di hadapan rumah menjerit lalu dia turun mendapati anak ketiganya dilanggar tayar hadapan kanan kenderaan itu, katanya di sini, Sabtu.

Mangsa dikejarkan ke Hospital Duchess of Ken, namun mangsa telah disahkan sudah meninggal dunia.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

maut, kemalangan

Artikel Sebelum

Artikel Lain