suria

1MDB: Dedahkan Laporan Interim Ketua Audit Negara Kepada Umum - Wan Azizah

PETALING JAYA: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menggesa supaya laporan interim Ketua Audit Negara berhubung siasatan terhadap aktiviti 1Malaysia Development Bhd (1MDB) didedahkan kepada umum.

Beliau berkata, adalah amat tidak adil dan tidak wajar untuk merujuk isi kandungan dokumen yang kononnya menyatakan tiada sebarang bukti salah laku, sedangkan orang ramai tidak boleh mengesahkan kesahihan kenyataan tersebut.

Menurutnya, kenyataan Menteri Kewangan II Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah pada Selasa bukan sahaja tidak memperjelaskan isu sebenar, malah ia menambah kekalutan dan cuba mengelirukan orang ramai hakikat sebenar yang berlaku.

"Ini kerana orang ramai dihalang dari membaca laporan tersebut, bagaimana boleh menyimpulkan sama ada kenyataan Husni itu benar atau palsu?

"Oleh kerana audit ini dilakukan dengan tujuan untuk memberikan pendedahan sepenuhnya operasi dan pengurusan 1MDB kepada umum, maka saya menggesa agar laporan interim Ketua Audit Negara ini didedahkan kepada umum serta-merta," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau mengulas mengenai kenyataan Menteri Kewangan II itu pada Selasa bahawa laporan awal oleh Ketua Audit Negara yang menyiasat aktiviti 1MDB tidak menemukan sebarang bukti salah laku maka dakwaan tidak bertanggungjawab oleh sesetengah pihak termasuk berkenaan 'kehilangan' RM42 bilion dan pemindahan AS$700 juta (RM2.6 bilion) kepada individu tertentu tidak berbangkit.

Wan Azizah yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) menegaskan bahawa dokumen tersebut hanyalah laporan interim dan Ketua Audit Negara, maka ia mungkin belum boleh memberikan kata putus mengenai isu tersebut. 

Sehubungan itu, katanya, ia tidak seharusnya dijadikan alasan untuk tidak mendedahkan laporan kepada umum. 

"Orang ramai memahami bahawa dokumen ini hanyalah sebuah laporan interim dan keputusan muktamad hanya boleh diperolehi daripada laporan penuh nanti.

"Bagaimanapun, oleh kerana masalah yang timbul akibat 1MBD ini cukup berkait dan mendatangkan kesan kepada pasaran serta ekonomi, khususnya ia mempengaruhi keputusan dan sentimen pelabur, termasuk dalam isu nilaian mata wang Ringgit, maka laporan interim Ketua Audit Negara ini perlu didedahkan sekarang," tegasnya.


Artikel Lain