suria

Bekas Pemandu Lori Tidak Waras Ketika Bunuh Jiran

IPOH: Seorang bekas pemandu lori pada Rabu terlepas daripada hukuman mati selepas Mahkamah Tinggi di sini mendapati dia tidak waras ketika membunuh jirannya, tiga tahun lepas.

Pesuruhjaya Kehakiman S.M. Komathy Suppiah memerintahkan tertuduh, Low Seng Fah, 65, dihantar ke Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak selama tempoh diperkenan Sultan Perak.

Low menghadapi pertuduhan membunuh Wong Cheong Heng, 76, di hadapan rumah No.84, Kampung Changkat, Kampar dekat sini, antara pukul 9.30 malam hingga 9.40 malam, 7 Julai 2012.

Pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Dalam penghakimannya, Komathy berkata pihak pembelaan berjaya membuktikan elemen bahawa ketika kejadian, tertuduh berada dalam keadaan mental yang tidak waras dan tidak sedar akan akibat daripada perbuatannya itu.

"Oleh itu tertuduh dilepas tetapi diletakkan di Hospital Bahagia Ulu Kinta dan mahkamah akan laporkan kes ini kepada Sultan Perak untuk mendapatkan titah perintah Sultan Perak," katanya.

Berdasarkan laporan Pakar Perunding Forensik Psikiatri dari Hospital Bahagia Ulu Kinta, Datuk Dr Suaran Singh, tertuduh disahkan menghidap penyakit mental kemurungan.

Laporan doktor itu juga menyebut semasa kejadian, tertuduh berada dalam keadaan mental yang tidak waras dan tidak sedar bahawa perbuatannya salah dari segi undang-undang.

Sepuluh saksi pendakwaan dan seorang saksi pembelaan memberi keterangan sepanjang perbicaraan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya How May Ling manakala tertuduh diwakili peguam Jagjit Singh. 

Ipoh, Bunuh

Artikel Lain