suria

Polis Akan Temubual Justo - KPN

Tan Sri Khalid Abu Bakar

KUALA LUMPUR: Polis akan menemubual bekas eksekutif kanan PetroSaudi International Ltd (PetroSaudi), Xavier Andre Justo yang kini disiasat polis Thailand berhubung kes peras ugut bekas majikannya.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, beliau telah mengemukakan permintaan itu kepada polis Thailand sebelum dia dikenakan tindakan.

"Setakat ini pihak berkuasa Thailand masih lagi menjalankan siasatan terhadap Justo.

"Saya telah membuat permohonan supaya kita diberi ruang untuk menemubual Justo sebelum  apa- apa tindakan diambil ke atasnya," katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Bungkusan Kuih Raya PDRM bagi tahun 2015 di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini, Isnin.

Khalid berkata, perbincangan lanjut mengenai perkara ini akan dijalankan bersama timbalan ketua polis Thailand yang akan datang ke Malaysia 2 Julai ini.

"Pada 2 Julai timbalan ketua polis Thailand akan datang ke mari, kami akan berbincang tentang apakah langkah seterusnya yang akan kita ambil terhadap Justo," katanya.

Menurut Khalid, dalam kes ini polis sentiasa berkerjasama rapat dengan pihak berkuasa Thailand, namun perlu memberikan masa kepada mereka untuk menjalankan siasatan.

"Kita perlu tunggu dulu mereka selesaikan siasatan terhadap subjek.

"Kita bagi pihak Thailand selesaikan dulu kerja-kerja mereka, biar selesai dulu kerja dia, kita lihat apa yang patut kita buat pula," katanya.

Rabu lalu, sebuah akhbar Thailand, Bangkok Post melaporkan bahawa polis Thailand telah menahan Justo, 49, dan mendakwa warganegara Switzerland itu atas tuduhan cuba memeras ugut bekas syarikat tempat dia berkerja.

Ketua Polis Thailand, Jeneral Somyot Pumpunmuang berkata,  Justo merupakan eksekutif di PetroSaudi, sebelum melarikan diri ke Thailand.

Penahanan Justo dikaitkan dengan kebocoran e-mel membabitkan syarikat pelaburan strategik negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Beliau berkata, siasatan awal mendapati Justo bertanggungjawab memberikan maklumat salah kepada blog Sarawak Report.

Blog tersebut menjadi sumber maklumat palsu dan artikelnya mengenai 1MDB kemudiannya dipetik The Edge dan media lain.

Artikel Lain