suria

Impian Jadi Nyata Buat Keluarga Mangsa Banjir

Misi tercapai apabila Yayasan Prudence dan para sukarelawan berjaya membina 14 buah rumah untuk mangsa banjir di Kampung Serasa, Kuala Krai, Kelantan.

PETALING JAYA: Empat belas keluarga mangsa banjir di Kampung Serasa, Kuala Krai, Kelantan kini mampu tersenyum apabila dapat menyambut Ramadan dan Aidilfitri di rumah baharu yang selesa.

Segalannya menjadi kenyataan apabila syarikat insurans terkemuka rantau ini menerusi Yayasan Prudence menunaikan tanggungjawab sosialnya dan menyerahkan kediaman yang siap dibina pada 11 Jun lalu.

Keseluruhannya, Yayasan Prudence memperuntukkan dana sebanyak RM1 juta bagi pembinaan semula rumah yang direka Epic Homes dengan memberi penekanan kepada sistem asas yang lebih kukuh, termasuk mampu bertahan dalam keadaan banjir sehingga paras 1.2 meter.


Pengarah Eksekutif Yayasan Prudence, Marc Fancy berkata, sebagai syarikat insurans terkemuka di rantau ini, Prudential komited menyediakan perlindungan dan keselamatan kepada keluarga-keluarga di sekitar Asia.

"Apabila banjir yang terburuk dalam sejarah negara melanda Pantai Timur, persoalan yang timbul bukannya kita perlu bantu atau tidak, tetapi bila dan bagaimana bantuan dihulurkan.

"Walaupun bantuan kewangan segera penting ketika bencana, Yayasan Prudence Foundation berusaha memperluaskan usaha  membantu masyarakat yang terjejas supaya mampu menjalani kehidupan seperti sediakala secepat mungkin.

"Terima kasih kepada Epic Homes atas usahasama untuk membolehkan rumah mangsa banjir dibina semula untuk memberi harapan dan membawa perubahan," katanya.


Lebih 380 sukarelawan di kalangan kakitangan dan ejen mewakili 12 pasaran Prudential di Asia serta rakyat negara ini bekerjasama membina semua 14 kediaman dalam masa sebulan.

Pembinaan rumah itu dijalankan menerusi program PruVolunteers yang turut membantu membina semula kehidupan masyarakat di Asia termasuk Jepun, Thailand, Filipina dan Indonesia.

Artikel Lain