suria

Enam Rumah Setinggan Musnah Dalam Kejadian Tanah Runtuh

Salah sebuah rumah setinggan yang musnah dalam kejadian tanah runtuh di Kampung Tahana, Jalan Padu, Larkin tengah malam Ahad. - fotoBERNAMA

JOHOR BARU: Enam buah rumah setinggan musnah dalam kejadian tanah runtuh di Kampung Tahana, Jalan Padu, Larkin di sini tengah malam Ahad membabitkan kerugian kira-kira RM30,000.

Timbalan Ketua Polis Daerah (I) Johor Baharu Selatan Supt Abdul Wahib Musa berkata, kejadian pada 12.30 tengah malam itu melibatkan 24 mangsa warga Indonesia, terdiri daripada 11 lelaki, sembilan wanita dan empat kanak-kanak.

Bagaimanapun, kesemua mereka terselamat dalam kejadian yang berlaku di kawasan tapak pembinaan yang dipercayai untuk dijadikan kedai dan restoran bersebelahan kampung berkenaan, katanya kepada pemberita selepas melawat tempat kejadian awal pagi Isnin.

"Pemeriksaan awal mendapati tiada sebarang kemalangan jiwa berlaku dan kerugian dianggarkan sebanyak RM30,000 melibatkan enam buah rumah dan tiga buah motosikal yang tertimbus," katanya.

Abdul Wahib, yang turut diiringi Timbalan Ketua Polis Daerah (II) Johor Baharu Selatan Supt Mohd Nadzir Gulam Kadir, berkata ketika kejadian, lima rumah berpenghuni manakala satu tiada penghuni.

Buat sementara waktu, kesemua mangsa dipercayai tinggal dan mendapat perlindungan bersama saudara terdekat, katanya.

Menurut Abdul Wahid pihaknya akan menghubungi pejabat tanah pagi ini bagi memastikan tindakan selanjutnya diambil, selain meminta Syarikat Air Johor Sdn Bhd dan Tenaga Nasional Bhd menyambung semula bekalan air dan elektrik ke kawasan terjejas akibat kejadian itu.

Abdul Wahib berkata kajian awal pihak bomba mendapati struktur tanah di kawasan berkenaan masih berisiko berlaku runtuhan, terutama jika hujan.

"Pihak polis akan menjalankan siasatan lanjut dan akan menghubungi pihak kontraktor serta menasihatkan mereka agar memberhentikan kerja-kerja pembinaan buat sementara waktu untuk menilai risiko keruntuhan tanah," katanya.

Kawasan Kampung Tahana, yang dipercayai didiami lebih 20 tahun lalu,  mempunyai 31 buah rumah dengan kira-kira 200 penduduk.

Sementara itu, Jurucakap Bomba dan Penyelamat Negeri berkata 10 buah rumah di kawasan berdekatan disarankan berpindah kerana tidak selamat.

tanah runtuh

Artikel Lain