suria

Kumpulan Kedua 30 Jenazah Mangsa Pemerdagangan Manusia Dikebumikan

POKOK SENA: Kumpulan kedua 30 jenazah mangsa pemerdagangan manusia dipercayai etnik Rohingya yang ditemui di Bukit Wang Burma, Wang Kelian bulan lepas dikebumikan di tanah perkuburan khairiah Kampung Tualang, awal pagi Isnin.

Jenazah terdiri daripada 28 lelaki dan dua wanita dikebumikan di tanah perkuburan itu mulai 3.50 pagi sehingga 5.30 pagi.

Pengarah Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK) Datuk Noh Dahya berkata, kesemua jenazah lelaki itu dikebumikan dalam satu liang lahat manakala jenazah wanita dalam liang lahat berasingan.

Katanya, baki 55 jenazah mangsa pemerdagangan Wang Kelian yang masih menjalani proses bedah siasat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) dijangka dikebumikan sebelum Aidilfitri.

"Insya Allah minggu depan kita mampu kebumi 40 jenazah manakala baki 15 jenazah yang terakhir, maksudnya ada dua kali pengebumian lagi," kata Noh kepada pemberita di sini, Isnin.

Kumpulan pertama 21 jenazah mangsa pemerdagangan itu telah dikebumikan di tanah perkuburan yang sama pada 22 Jun lepas.

Pengebumian yang diuruskan oleh JAIK dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) turut dibantu oleh penduduk tempatan, anggota polis dan persatuan kebajikan Rohingya Kedah.

JAIK, Bukit Wang Burma

Artikel Lain