suria

Bersahur Beramai-ramai Kurangkan Rasa Sedih Tinggal Di Pusat Pemindahan

Penduduk kampung Mesilau bergotong royong memasak di Dewan Masyarakat Kundasang untuk makanan penduduk kampung yang berpindah ke dewan ini.

RANAU: Bersahur dan berbuka puasa secara beramai-ramai dapat mengurangkan rasa sedih dalam kalangan mangsa banjir lumpur dari Kampung Mesilau yang menyambut bulan Ramadan di Pusat Pemindahan Dewan Mini Kundasang di sini.

Terdapat 167 orang dari 35 keluarga beragama Islam dipindahkan ke dewan itu berikutan banjir lumpur di Sungai Mesilau menyebabkan jambatan menjadi penghubung utama ke kampung itu terputus.

Ramon Sairin, 54, berpindah ke pusat pemindahan itu bersama isteri dan empat anaknya tidak menafikan berasa sedih kerana tidak dapat menyambut bulan Ramadan di kampungnya.

Katanya suasana dan persiapan bersahur dan berbuka puasa tidak sama seperti di rumah sendiri.

"Di sini (pusat pemindahan) kami bersahur tadi secara beramai-ramai dan terasa seronok, sekurang-kurangnya dapat mengurangkan rasa sedih terpaksa menyambut bulan Ramadan di sini, " katanya kepada Bernama di sini, Khamis.Ramon yang bekerja sebagai pekebun sayur menyifatkan kejadian banjir lumpur sebagai dugaan Allah pada bulan Ramadan ini.

Menurutnya ini merupakan kali pertama penduduk kampung Mesilau berpindah ke pusat pemindahan disebabkan bencana alam.

Biarpun tidak selesa tinggal sementara di Dewan Mini Kundasang, beliau berpuas hati dengan bantuan keperluan diterima khususnya makanan harian dan air minuman.

Beliau berharap dapat balik ke rumah dalam tempoh terdekat ini dan setakat ini pasukan keselamatan belum memberi mereka jangkaan masa untuk mereka boleh kembali ke rumah.

Rakan sekampungnya, Hadin Kassim, 49, berkata pasukan keselamatan membuat keputusan tepat memindahkan dia bersama isteri dan lima anaknya ke pusat pemindahan dari kawasan kampung itu berikutan ancaman banjir lumpur.

"Saya belum yakin untuk balik ke rumah berikutan cuaca tidak baik pada masa sekarang. Saya risau banjir lumpur menghanyutkan serpihan kayu boleh sampai ke kawasan kampung mereka terletak berhampiran sungai Mesilau," katanya.

Menurutnya mereka sekeluarga akur dengan keadaan semasa di Kundasang berikutan kejadian gempa bumi dan banjir lumpur menyebabkan mereka terpaksa berpuasa di pusat pemindahan.

Hadin berkata kebanyakan penduduk kampung Mesilau juga hilang punca pendapatan disebabkan tidak dapat berkebun sayur di Kampung Montaki yang turut terputus hubungan akibat jambatan runtuh.

Beliau berkata keputusan tinggal di pusat pemindahan membolehkan mereka tidak perlu risau berhubung barang keperluan khususnya makanan harian yang disediakan oleh kerajaan dan sumbangan daripada orang ramai.

Di daerah Ranau, mangsa banjir lumpur di 10 kampung turut dipindahkan di Dewan Masyarakat Ranau dan Dewan Serbaguna Marakau.-- Bernama 

Ranau, Kundasang, sahur, Ramon Sairin

Artikel Lain