suria

Isu Pati, Rohingya: Imigresen Utamakan Maruah, Imej Negara

Sebahagian daripada ribuan pelarian Rohingya yang ditempatkan di depot tahanan selepas dikesan memasuki perairan negara dua minggu lalu.

PETALING JAYA: Jabatan Imigresen menguruskan isu membabitkan pendatang tanpa izin (Pati) dan pelarian Rohingya sebaik mungkin kerana ia melibatkan maruah dan imej negara.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Mustafa Ibrahim berkata, perhatian pihak luar terhadap isu kebanjiran pelarian dan warga asing ke rantau ini adalah antara faktor pihaknya perlu sentiasa berhati-hati dalam mengendalikan situasi ini.

"Sebagai agensi pelaksana bagi menangani isu ini, jabatan perlu berhati-hati dalam menguruskan perkara ini yang semakin rumit kerana mendapat perhatian global.

"Imigresen menyedari bahawa banyak pihak sangat berminat untuk membantu dan ia dialu-alukan, tetapi kita juga perlu berhati-hati dengan beberapa kumpulan yang cuba memanipulasi isu ini dan ia boleh menjejaskan kerajaan, KDN dan kredibiliti jabatan ini," katanya dalam kenyataan di sini, Rabu.

Beliau menjelaskan sedemikian kerana ada pihak yang seolah-olah cuba mempolitikan isu berkenaan dan mendakwa kerajaan, khususnya Kementerian Dalam Negeri (KDN) bersikap sambil lewa dalam mengurus dan memberi perlindungan kepada kumpulan pelarian ini.

Menjelaskan lebih lanjut, Mustafa berkata, jabatan itu bagaimanapun tidak akan berkompromi dari segi peraturan yang ditetapkan.

"Yang pasti, sebagai depot tahanan Pati, semua pihak perlu melalui SOP, kaedah dan peraturan yang ditetapkan," katanya sambil menambah pihaknya juga mendapat kerjasama Kementerian Kesihatan, Polis Diraja Malaysia serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam memenuhi keperluan warga asing terbabit.

Mengenai perpindahan Pati ke depot tahanan lain, beliau berkata, ia bagi membolehkan pelarian Rohingya dan warga Bangladesh ditempatkan sementara di situ dan mendapat layanan sebaik mungkin.

"Kita masih boleh menampung pelarian Rohingya dan pendatang Bangladesh dan memberi kemudahan serta layanan terbaik setakat yang boleh.

"Pihak lain tidak boleh membandingkan depot imigresen  dengan kem pelarian yang mungkin lebih selesa dan lengkap," katanya.









 

Pati, Rohingya, Imigresen, Mustafa Ibrahim

Artikel Lain