suria

DAP Kempen Calon 'Yes Man'

Mohd Zuhdi Marzuki

PETALING JAYA: DAP didakwa cuba berkempen untuk menyingkirkan pemimpin tertentu dalam PAS yang dianggap penghalang kepada beberapa agenda pakatan pembangkang, dakwa Dr Mohd Zuhdi Marzuki.

Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan PAS itu berkata, pemilihan kepimpinan baharu PAS pada Jun ini adalah peluang terbaik untuk menaikkan pemimpin yang dilabelkan sebagai 'mesra' DAP atau 'yes man'.

"Jelas, DAP sedang berusaha untuk menyingkirkan pimpinan-pimpinan PAS yang berani berkata "tidak" atau "no" kepada DAP.

"Untuk menyingkirkan jaluran pimpinan PAS yang tegas seperti ini, DAP melakukan serangan habis-habisan terhadap Presiden PAS yang sebelum ini tidak tunduk kepada desakan DAP dalam mesyuarat Pakatan Rakyat," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.

Selain itu, Mohd Zuhdi berkata, pertandingan dua penjuru bagi jawatan nombor satu parti itu juga dianggap sebagai peluang terbaik untuk menguasai PAS menerusi individu tertentu.

"Muktamar PAS dilihat peluang keemasan untuk menaikkan pimpinan PAS yang dapat memenuhi kehendak DAP atau dengan perkataan lain di kalangan pemimpin 'yes man'.

"Pencabar kepada Presiden PAS sekarang, ustaz Ahmad Awang sememangnya dikenali sebagai seorang yang lunak terhadap desakan DAP," dakwa Mohd Zuhdi.

Mohd Zuhdi marzuki, PAS, DAP

Artikel Lain