suria

PKR Dan Umno Dilihat 'Bermasalah' Pilih Calon

PERMATANG PAUH: Walaupun pertarungan sengit dijangka berlaku di Permatang Pauh, PKR dan Umno sebenarnya sedang bertarung dalam pertempuran lain iaitu mencari calon yang sesuai.

Jika PKR meletakkan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Umno mencalonkan Mohd Norsafri Said, kedua-dua parti tidak boleh lari daripada tuduhan nepotisme.

Ketua Umno Permatang Pauh, Datuk Mohd Zaidi Said dikatakan telah berusaha melobi saudaranya, Mohd Norsafri untuk bertanding kerusi itu sebagai 'muka baharu' manakala Dr Wan Azizah dilihat sebagai calon kitar semula selepas secara sukarela meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh tujuh tahun lepas bagi memberi laluan kepada suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

PKR memainkan isu Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) manakala Umno boleh mengambil kesempatan ke atas pergeseran dalaman dalam Pakatan Rakyat terhadap rancangan hudud PAS.

PKR yang mendakwa bahawa kerajaan BN bersikap kejam kepada rakyat dengan melaksanakan GST mungkin boleh berpegang dengan dakwaan itu, bagaimanapun, rakyat tempatan dikatakan kecewa dengan kerajaan negeri yang antara lain, menaikkan tarif air, cukai taksiran dan bayaran kiosk pasar.

BN juga mempunyai pengarah Pulau Pinang Biro Tatanegara yang disenarai pendek dan Ketua Penerangan Umno Permatang Pauh Hasan Mohammad, 50, untuk bertanding kerusi itu.

Walaupun Hasan dikenali di Permatang Pauh, di mana beliau lebih dikenali sebagai Cikgu Hasan dia mungkin tidak mampu mendapatkan undi protes PAS.

Parti Islam itu di Permatang Pauh telah memberikan kata dua kepada PKR supaya memohon maaf kerana membantah hudud atau mereka tidak akan mengambil bahagian dalam kempen.

PKR perlu risau jika BN memutuskan untuk meletakkan Dr Mazlan Ismail, yang telah berjaya mengurangkan majoriti undi Anwar dengan 5,000 undi pada pilihan raya umum 2013.

Ketua Penerangan PAS Permatang Pauh Jamsari Samad berkata ahli yang tidak berpuas hati mungkin tidak mempunyai masalah untuk memberi undi mereka kepada orang-orang seperti Dr Mazlan.

"Dr Mazlan datang daripada keluarga yang dihormati dan yang paling penting, keluarga dan saudara-mara beliau adalah ahli PAS.

"Ahli-ahli PAS dan penyokong yang marah dengan PKR boleh memboikot pilihan raya kecil itu," katanya.

Walau bagaimanapun, sehingga SElasa, Dr Mazlan tidak disenarai pendek, selepas beliau dikatakan tidak lagi aktif selepas tewas dalam pilihan raya dua tahun yang lalu.

PRK Permatang Pauh, BN, PKR

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain