suria

Isu Gereja: MCA Sokong Kenyataan Zahid

Datuk Seri Liow Tiong Lai
PETALING JAYA: MCA menyokong kenyataan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa bantahan di Taman Medan sebagai menghasut dan menyarankan supaya penunjuk perasaan disiasat di bawah undang-undang.

Jawatankuasa pusat parti itu berkata, dua menteri dalam MCA iaitu Presiden parti Datuk Seri Liow Tiong Lai dan timbalannya Datuk Dr Wee Ka Siong dengan jelas menyatakan pendirian mereka dalam mesyuarat Kabinet, Selasa.

"Pihak kami tidak bersetuju dengan protes itu dan menegaskan bahawa mereka yang terlibat mesti disiasat dan tertakluk kepada kedaulatan undang-undang.

"MCA berpendapat bahawa pihak berkuasa yang berkenaan perlu menjalankan siasatan dan mengambil tindakan yang perlu tanpa rasa takut atau pilih kasih.

"Mereka tidak harus dipengaruhi oleh sebarang hubungan istimewa tertentu yang mungkin ada dengan penunjuk perasaan," katanya dalam satu kenyataan.

Parti itu juga menegaskan bahawa Malaysia menjunjung kedaulatan undang-undang yang perlu diikuti oleh semua.

"Tiada sesiapa pun berada di atas undang-undang. Begitu juga, tiada sesiapa pun boleh meletakkan undang-undang di tangan sendiri.

"Oleh itu, penunjuk perasaan perlu menyuarakan perbezaan pendapat mereka melalui saluran yang betul, termasuk pihak berkuasa tempatan, dan tidak melalui menegaskan tekanan ke atas gereja dan Kristian melalui demonstrasi," katanya.

Ketua Wanita MCA Datuk Heng Seai Kie menggesa Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mengambil tindakan segera terhadap semua penunjuk perasaan gereja Taman Medan, termasuk abangnya sendiri, Datuk Abdullah Abu Bakar.

Artikel Sebelum

PRK Rompin: BN Lawan PAS

Artikel Lain