suria

Polis Siasat Penjawat Awam Terlibat Aktiviti Keganasan

Khalid menghadiri program keagamaan Buddha di Kuih Maha Vihara di Brickfields, Jumaat dengan menyerahkan sumbangan RM4,000 kepada kuil berkenaan dan Persatuan Kebajikan Ti-Ratana sempena Hari Polis ke-208. Beliau turut menyerahkan sumbangan kepada Arumugam Subramaniam, 58 (kanan).

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini menjalankan siasatan dan pemeriksaan dalam kalangan penjawat awam untuk mengesan mereka yang berkemungkinan terlibat dalam aktiviti keganasan, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Beliau memberi amaran keras bahawa polis tidak akan bertolak ansur dan akan mengambil tindakan tegas mengikut perundangan yang ada terhadap penjawat awam yang terlibat dalam aktiviti keganasan.

Khalid berkata, pihaknya juga menjalin kerjasama rapat dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berikutan terdapat anggota pasukan itu terbabit dalam kumpulan pengganas Negara Islam (IS).

"Polis bekerjasama rapat dengan ATM dalam kita mengenal pasti elemen-elemen IS dalam ATM dan juga lain-lain jabatan.

"Polis akan mengambil tindakan bukan sekadar ATM malah semua jabatan-jabatan dan kakitangan kerajaan yang terlibat," katanya kepada pemberita di sini, Jumaat.

"Kami memantau IS, ahli-ahli kumpulan yang balik dari Syria termasuk yang ada di sini, polis memantau kegiatan mereka, aktiviti mereka dan yang kita jangka bahawa kumpulan ini merancang untuk melakukan perkara buruk," katanya.

Sehubungan itu, Khalid meminta orang ramai agar terus bekerjasama dengan PDRM dan memberi maklumat mengenai sebarang kegiatan ahli kumpulan IS agar kegiatan ekstremis dapat dikekang.

Ahad lalu, dua anggota tentera merupakan antara 17 individu yang ditahan kerana merancang melakukan keganasan di Lembah Klang.

Setakat ini, seramai 93 rakyat Malaysia ditahan sejak Februari 2013 kerana disyaki terlibat dalam aktiviti militan.-- Bernama


Khalid Abu Bakar, IS, penjawat awam

Artikel Lain