suria

Lelaki Warga Pakistan, Nigeria Didakwa Edar 1.66 Kg Heroin

KUALA LUMPUR: Seorang warga Pakistan dan rakannya warga Nigeria berhadapan hukuman mati selepas didakwa di Mahkamah Majistret di sini, Jumaat atas pertuduhan mengedar heroin seberat 1.66 kg bulan lepas.

Kedua-dua lelaki itu didakwa melakukan kesalahan di pos pengawal keselamatan Kondominium Tropicana, Kuchai Entrepreneurs Park di sini pada pukul 10.50 pagi 29 Mac lepas dan menghadapi pertuduhan di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukumam mati mandatori di bawah Seksyen 39B(2) akta yang sama, jika sabit kesalahan.

Emanuel dari Islamabad, Pakistan dan rakannya Osyprme Innocent dari Ogidi, Nigeria memberitahu mahkamah bahawa mereka faham pertuduhan yang dibacakan dan tiada pengakuan direkodkan.

Majistret Erry Shahriman Nor Aripin menetapkan Jun depan untuk sebutan semula kes. Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Ketua Inspektor Nom Phot Prackdit sementara kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Dalam mahkamah yang sama, seorang warga Somalia, Liban Ahmed Abdille mengaku tidak bersalah mendera anak perempuannya berusia 12 tahun di rumah sewa mereka di Wangsa Maju, di sini antara April 2014 hingga Februari tahun ini.

Liban, 41 didakwa di bawah Seksyen 31 (1) (A) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda sehingga RM20,000 jika sabit kesalahan.

Erry Shahriman tidak membenarkan ikat jamin dan menetapkan 27 Mei ini untuk sebutan semula kes.-- Bernama

Artikel Lain