suria

Calon Yang Betul Tentukan Kemenangan Di Permatang Pauh

Wan Azizah menyatakan kesediaan bertanding di Permatang Pauh.
BUKIT MERTAJAM: "Saya dah banyak kali mengundi di Permatang Pauh ni dan kali ni kalau calon yang sama juga, maknanya kali kedualah calon tu bersilih ganti".

Itu antara luahan Ismail Ahmad, 61, yang menaruh harapan pilihan raya kecil kawasan Parlimen Permatang Pauh kali ini akan memberi angin perubahan dan muka baharu untuk membela nasib rakyat di kawasan itu.

Ismail, yang merupakan penduduk di Penanti berkata beliau bukan anggota mana-mana parti politik tetapi merasakan jika calon yang diletakkan berkisar kepada anggota keluarga orang tertentu sahaja, ia bukanlah sesuatu yang baik.

"Jika sebuah parti itu hanya meletakkan anggota keluarganya sahaja, ia dilihat seperti ia (parti) adalah milik mereka," katanya ketika ditemui di sini.

Ismail yang mencari rezeki dengan menanam padi (pesawah) berkata faktor calon adalah penting untuk menentukan kemenangan parti yang bertanding pada pilihan raya kecil kawasan Parlimen itu 7 Mei ini.

Pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh diadakan selepas kerusi itu diisytihar kosong apabila penyandangnya Datuk Seri Anwar Ibrahim hilang kelayakan sebagai Anggota Parlimen setelah Lembaga Pengampunan menolak petisyen bagi pengampunan diraja yang dipohon keluarga Anwar atas sabitan meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Anwar kini menjalani hukuman penjara lima tahun di Penjara Sungai Buloh.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 25 April ini hari penamaan calon manakala pengundian awal 3 Mei dan hari pengundian 7 Mei.

Kerusi Parlimen Permatang Pauh sebelum itu disandang isteri Anwar, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail selepas memenangi pilihan raya umum pada 1999 apabila Anwar yang merupakan Anggota Parlimen kawasan itu menjalani hukuman penjara kerana kesalahan meliwat.

Wan Azizah kemudian meletak jawatan sebagai Anggota Parlimen Permatang Pauh pada Ogos 2008 untuk memberi laluan kepada suaminya, Anwar yang dibebaskan dari penjara pada 2004, bertanding pada pilihan raya kecil Permatang Pauh.

Pada pilihan raya umum 2013, Anwar mempertahankan kerusi Permatang Pauh selepas menewaskan calon Barisan Nasional (BN) Dr Mazlan Ismail dengan majoriti 11,721 undi.

Ridhwan Malik, 37, yang merupakan penduduk di Kampung Pelet pula berkata penduduk tempatan kini dapat melihat dengan jelas bahawa sejak Anwar keluar BN dan menyertai PKR, kerusi Parlimen itu hanya diperuntukkan kepada anggota keluarganya.

"Sebelum ini, kami memang memandang tinggi kepada PKR, tetapi keadaan itu  sudah berubah kerana selepas beberapa kali pilihan raya umum dan pilihan raya kecil, calon hanya daripada keluarga Anwar...selepas menang jarang berada di  Permatang Pauh.

"Kami sudah muak dengan permainan politik keluarga beliau, lagipun mereka gagal mengotakan janji dan hanya muncul ketika tempoh berkempen kemudian hilang.
Kami susah nak jumpa wakil rakyat kami," katanya.

Seorang peniaga, Kee Sim Fuh, 42, yang merupakan penyokong Pakatan Rakyat turut melahirkan rasa kecewa kerana tiada banyak perubahan dilakukan di Permatang Pauh.

"Mereka (Pakatan Rakyat) sebenarnya hanya bagus dalam perkara mencari kesalahan dan menonjolkan kesilapan pesaing mereka. Satu-satunya cara untuk BN  menang ialah meletakkan calon yang diterima akar umbi...isu 'kubu kuat' Pakatan Rakyat bukan soal utama," katanya yang tinggal di pekan Permatang Pauh.

Permatang Pauh, Anwar Ibrahim

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain