suria

Bayaran Caj Perkhidmatan Bantu Tambah Gaji Pekerja Hotel - Kesatuan

GEORGE TOWN: Caj perkhidmatan 10 peratus sedia ada yang dikenakan hotel sepatutnya dikekalkan kerana ia membantu menambah pendapatan rendah di kalangan majoriti kakitangan industri tersebut.

Pegawai Kesatuan Kebangsaan Pekerja Hotel, Bar dan Restoran Semenanjung Malaysia yang enggan namanya didedahkan berkata pekerja hotel hanya memperoleh RM350 sebulan.

"Bayangkan perkara ini berlaku kepada pekerja hotel di Lembah Klang. Bayaran caj perkhidmatan amat penting untuk mereka. Mereka bergantung sepenuhnya kepada bayaran tersebut untuk meneruskan kehidupan," katanya pada Rabu.

Kesatuan itu mempunyai 11,000 ahli dari 130 hotel di seluruh negara.

Caj perkhidmatan tersebut dikenakan hotel dan diagihkan kepada pekerja mengikut peruntukan Caj Perkhidmatan dibawa Perjanjian Bersama (CA) selepas potongan 10 peratus bagi tujuan pentadbiran.

Pegawai itu berkata bayaran caj perkhidmatan menawarkan pengagihan saksama dikalangan ahli-ahli kesatuan yang layak berbanding dasar pemberian tip.

"Pemberian tip hanya memberi manfaat kepada pekerja barisan hadapan seperti pelayan dan  tukang angkut (bellboy).

"Bagaimana mereka yang bekerja di belakang tadbir seperti di bahagian dapur dan housekeeping?," soalnya.

Beliau berkata nilai poin adalah antara RM90 dan RM150 bagi hotel yang terletak di bandar kecil, manakala hotel lima bintang dan antarabangsa menawarkan RM600 dan RM800.

"Ia juga bergantung kepada tempoh perkhidmatan dan jawatan di dalam hotel.

"Sebagai contoh, seorang kapten restoran boleh memperoleh sehingga tiga poin manakala pelayan akan bermula dengan satu poin.

"Setiap nilai poin juga bergantung kepada saiz dan jumlah perniagaan hotel tersebut," katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Kesatuan Pekerja Hotel Lone Pine, Mohd Pisul Hussein, 36, berharap caj perkhidmatan akan dikekanlkan kerana ia memberi suntikan motivasi kepada pekerja.

Beliau berkata seramai 104 pekerja kesatuan itu boleh memperoleh secara purat RM500 sebulan.

"Kami sentiasa berada bersemangat apabila mendapat bayaran gaji. Bayaran caj perkhidmatan mengingatkan kami supaya sentiasa berjaga-jaga sepanjang masa. Pelanggan akan datang kembali sekiranya kita memberikan perkhidmatan terbaik," katanya.

Di Petaling Jaya, Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) N. Gopal Krishnan berkata sesiapa yang bekerja dalam industri perhotelan berhak terhadap sistem poin, sama ada melalui CA atau surat lantikan.

caj perkhidmatan, hotel

Artikel Berikut

Artikel Lain