suria

Pengguna, Persatuan Restoran Bertelagah Isu Caj Perkhidmatan

Paul Selvaraj.
PETALING JAYA: Kumpulan pengguna dan persatuan restoran bertelagah sama ada caj perkhidmatan sepatutnya dikenakan terhadap pelanggan.

Malah kumpulan pengguna menggesa peraturan yang lebih ketat berkaitan caj perkhidmatan dikuatkuasakan.

Setiausaha Agung Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Datuk Paul Selvaraj berkata caj perkhidmatan adalah wajar sekiranya ia dikawal oleh Perjanjian Bersama (CA) antara majikan dan pekerja.

"Masalah sekarang adalah hampir setiap restoran mengenakan pelanggan dengan caj ini dan wang tersebut tidak pergi kepada pekerja mereka.

"Perlu ada satu polisi jelas ditetapkan dimana pengguna boleh tahu berapa jumlah yang perlu mereka bayar.

"Perniagaan sudah mengambil kira kos tetap dalam harga supaya pemilik tidak mengenakan caj tambahan sebanyak 10 peratus.

"Caj perkhidmatan perlu dikawal selia dan berpendapat bahawa jika anda meletakkan papan tanda  di luar kedai anda memenuhi keperluan ia adalah salah. Perlu ada perjanjian bersama di permis sebelum mengenakan caj 10 peratus," katanya.

Beliau berkata pengguna merasa jengkel dan keliru mengapa mereka masih perlu membayar caj perkhidmatan dan mengapa Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dikenakan atas bayaran perkhidmatan itu juga.

Jelas Selvaraj, bayaran caj perkhidmatan atau pemberian tip perlu mengikut budi bicara pelanggan.

Tambahnya, adalah tidak masuk akal untuk pelanggan membayar caj tersebut sekiranya perkhidmatan mereka teruk.

Namun, persatuan restoran mendesak caj perkhidmatan supaya dikenakan.

Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia, Noorul Hassan berkata walaupun kebanyakan restoran mamak tidak mengenakan caj perkhidmatan, beberapa kedai 'high-end' melakukannya.

"Pengusaha tidak memudaratkan dalam mengutip caj tersebut kerana pelanggan menjangkakan perkhidmatan yang lebih bagus di kedai tersebut.

"Rakyat Malaysia perlu memahami bahawa segala yang melibatkan tenaga kerja dan caj menyediakan insentif kepada pekerja untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan.

"Sekiranya perkhidmatan itu teruk, pelanggan akan pergi ke tempat lain - ia adalah hak mereka sebagai pelanggan.

Timbalan Presiden Fomca, Mohd Yusof Abdul Rahman mencadangkan agar pemilik restoran dan hotel untuk memiliki perjanjian bersama (CA) yang disahkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) sebelum mereka boleh mengenakan caj perkhidmatan.

Mohd Yusof berkata sebaik sahaja CA itu diluluskan, kementerian boleh mengeluarkan satu notis kepada pengguna untuk ditunjukkan kepada pelanggan mereka.

Sejak pelaksanaan GST pada 1 April lalu, Mohd Yusof berkata Fomca menerima lebih 100 aduan mengenai perkara itu.

restoran, caj perkhidmatan, Fomca

Artikel Lain