suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

Pindaan Akta Hasutan Cipta Rekod, Dilulus Selepas 14 Jam Dibahas

KUALA LUMPUR: Perbahasan terhadap pindaan Akta Hasutan 1948, mencipta rekod apabila diluluskan selepas kira-kira 14 jam dibahaskan di peringkat dasar dan jawatankuasa. 

Pindaan Akta Hasutan 1948 yang diluluskan dengan pindaan, mula dibahaskan pada 11.30 pagi Khamis, sebelum diluluskan pada 2.30 pagi Jumaat berdasarkan undian suara. 

Antara isu utama yang hangat diperdebatkan anggota Parlimen termasuk kekhuatiran akta itu menjurus kepada penyalahgunaan kuasa susulan definisi 'kecenderungan menghasut' dalam rang undang-undang itu, yang disifatkan kurang jelas dan boleh menjurus kepada penyalahgunaan oleh pihak berkuasa apabila akta itu diwartakan kelak. 

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika menggulung perbahasan rang undang-undang itu di Dewan Rakyat, bagaimanapun memberi jaminan bahawa penyalahgunaan tidak akan berlaku dalam penguatkuasaan akta tersebut kerana sesuatu kes akan dibawa ke mahkamah hanya selepas pihak pendakwaan mempunyai bukti kukuh. 

Ini kerana, beliau berkata sekiranya seseorang ditangkap dan disiasat di bawah akta itu, tidak semestinya akan didakwa di mahkamah.

"Perkara itu bergantung kepada Peguam Negara, jika dia yakin ada kes baru, pendakwaan akan dibuat. Kita ada banyak kes di mana polis jalankan siasatan tapi pendakwaan tidak dibuat oleh Peguam Negara," katanya. 

Berhubung definisi 'hasutan', Ahmad Zahid berkata ia telah dinyatakan secara jelas di bawah rang undang-undang berkenaan.

Ahmad Zahid dalam hujahnya beberapa kali, menegaskan bahawa langkah mengekalkan Akta Hasutan 1948 adalah perlu demi melindungi kepentingan rakyat tanpa mengira kaum dan agama bagi mencegah sesuatu yang buruk daripada berlaku di negara ini. 

Ini kerana, katanya akta itu yang telah sekian lama digunakan terbukti keberkesanannya sebagai alat paling berkesan untuk menghadapi isu-isu berbaur hasutan dalam memastikan keamanan yang dikecapi selama ini akan terus terpelihara.
Akta Hasutan, Ahmad Zahid Hamidi

Artikel Sebelum

Artikel Lain