suria

PRK Rompin: Hari Pengundian 5 Mei

Abdul Aziz Mohd Yusof.
PETALING JAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Rompin, Pahang (P.091) pada 5 Mei manakala tarikh penamaan calon pada 22 April ini. 

Keputusan itu diumumkan Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof selepas mempengerusikan mesyuarat khas SPR mengenai PRK Rompin di Menara SPR di Putrajaya pada Jumaat.

PRK tersebut menyaksikan kempen diadakan selama 12 hari dengan hari pengundian ditetapkan pada hari Selasa manakala pengundian awal pada 30 April 
ini.

Abdul Aziz berkata kawasan Parlimen tersebut mempunyai 53,294 pemilih berdaftar.

"Daftar pemilih itu terdiri daripada 52,744 pemilih biasa, 545 pemilih awal dan lima orang pengundi tidak hadir luar negara," katanya.

Menurut Abdul Aziz, SPR melantik Pegawai Daerah dan Tanah Rompin Datuk Fadzilla Salleh sebagai pegawai pengurus yang akan dibantu lima penolong pegawai pengurus selain menubuhkan enam pasukan penguat kuasa kempen pilihan raya untuk melancarkan proses PRK Rompin. 

"Hari penamaan calon dan pusat penjumlahan rasmi undi PRK Rompin akan diadakan di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, manakala 35 sekolah dan tiga balai raya atau dewan akan diguna sebagai pusat mengundi yang mengandungi 119 saluran tempat mengundi," katanya.

Ia merupakan PRK kesembilan selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) yang diadakan pada 5 Mei 2013.

Terdahulu, SPR menerima pemakluman rasmi daripada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia berhubung kekosongan kerusi Parlimen itu pada Selasa 
lalu.

Kerusi Parlimen Rompin diisytihar kosong apabila penyandangnya, Tan Sri Jamaluddin Jarjis maut dalam nahas helikopter terhempas di Kampong Pasir Baru, Semenyih pada Sabtu lalu.

Selain Jamaluddin, tragedi itu turut mengorbankan lima yang lain iaitu Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri Datuk Azlin Alias, juruterbang helikopter Clifford William Fournier Jr, pembantu operasi Aidana Baizieva, ahli perniagaan Datuk Tan Huat Seang dan pengawal peribadi Jamaluddin, Razakan B Seran.

Pada pilihan raya umum ke-13 pada Mei 2013, Jamaluddin yang juga Pengerusi Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) mengekalkan kerusi kawasan tersebut yang disandangnya sejak 23 tahun lalu, apabila mengalahkan bekas Ketua Muslimat PAS Pusat Nuridah Mohd Salleh dengan majoriti 15,114 undi.


PRK Rompin, SPR

Artikel Sebelum

Artikel Lain