suria

Angkasa-Mosti Anjur Siaran Langsung Gerhana Matahari Penuh

KUALA LUMPUR: Agensi Angkasa Negara (Angkasa) dengan kerjasama  Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) mengadakan siaran langsung bagi menyaksikan gerhana matahari penuh yang berlaku di Eropah di Planaterium Negara pada Jumaat.

Pegawai Sains Angkasa, Zamri Shah Mastor berkata, fenomena itu tidak dapat dilihat di Malasyia namun pihak Angkasa berusaha mengadakan siaran langsung untuk turut sama merasai fenomena alam yang jarang berlaku itu.

"Hari ini kita mengalami peristiwa gerhana matahari penuh tetapi penduduk Malaysia tidak dapat menyaksikan gerhana ini.

"Bagaimanapun Angkasa bersama Mosti mengambil inisiatif menayangkan fenomena ini melalui lintas langsung menggunakan internet (live streaming)," katanya.

Gerhana Matahari penuh ini berlaku di Kepulauan Faroe yang terletak di Lautan Norway dan kenampakan maksimum berlaku selama 2 minit 47 saat.

Fenomena kali ini merupakan gerhana matahari penuh terakhir buat penduduk Eropah dan akan berlaku semula pada 12 Ogos 2026.

Disamping itu, beliau juga memberitahu dunia akan mengalami fenomena Ekuinoks pada Sabtu.

"Esok dunia akan mengalami fenomena astronomi yang dipanggil, Ekuinoks iaitu matahari berada di atas garisan khatulistiwa.

"Dalam kata lain, kesemua tempat di seluruh dunia akan mengalami masa siang dan malam yang sama panjang," ujarnya.

Tambah beliau, Bandar Pontianak, Indonesia yang berada di garisan khatulistiwa akan mengalami tengah hari tiada bayang.

"Bandar pontianak akan mengalami tengah hari tiada bayang yang bermaksud matahari berada tegak di atas kepala dan bayang jatuh pada kaki.

"Penduduk Malaysia akan merasa tengah hari tanpa bayang bermula pada 25 Mac ini di sekitar Johor Bahru," katanya.

Selain daripada siaran langsung gerhana matahari penuh, orang ramai turut diberikan taklimat berkenaan kejadian Ekuinoks serta gerhana bulan.

Angkasa, Mosti

Artikel Lain