suria

Vell Paari Digantung Daripada MIC

Vell Paari.
PETALING JAYA: Bekas Pengarah Strategik MIC, Datuk Seri Vell Paari digantung daripada parti itu atas dakwaan menggangu serta menyerang kakitangan ibu pejabat parti itu.

Dalam sepucuk surat yang dikeluarkan oleh Presiden MIC, Datuk Seri G. Palanivel bertarikh 18 Mac, Vell Paari digantung kerana didakwa membuat kecoh di ibu pejabat parti pada 12 Mac bersama beberapa individu dan menyerang seorang kakitangan pejabat serta mengugut beberapa pekerja yang lain. 

"Anda dan beberapa individu lain yang bersama anda telah mengunci premis secara haram dan menyebabkan operasi di ibu pejabat MIC lumpuh. Anda dan beberapa individu lain telah menyebabkan kerosakan terhadap bangunan ibu pejabat MIC," kata Palanivel dalam surat tersebut. 

Beliau menambah keahlian Vell Paari digantung selama 12 bulan berkuat kuasa serta merta.

Dalam satu kenyataan media pada tengah hari Jumaat, Vell Paari mencabar keputusan penggantungan beliau dan mempersoalkan sama ada Palanivel mempunyai kuasa untuk menggantung atau memecat mana-mana ahli MIC. 

"Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) telah menyatakan dengan jelas beliau (Palanivel) tidak mempunyai kuasa untuk memecat, melakukan sebarang perubahan atau menggantung keahlian mana-mana ahli. Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) Interim juga telah mengesahkan perkara ini. RoS telah mengesahkan CWC interim ini sebagai badan yang sah," kata Vell Pari. 

Beliau turut menggesa Palanivel mengemukakan bukti terhadap semua dakwaan yang dilemparkan terhadapnya dalam tempoh seminggu. 


"Jika beliau (Palanivel) dapat menunjukkan bukti terhadap semua dakwaan yang dikemukakan ke atas saya, saya akan meletakkan jawatan daripada MIC serta-merta. Saya akan merujuk dakwaan yang dibuat terhadap saya kepada peguam saya. Hal ini kerana ia melanggar hak saya dan merosakkan reputasi saya," kata Vell Paari. 



Artikel Lain