suria

Dapsy DAP Beku Kerjasama Dengan Pemuda PAS

GEORGE TOWN: Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Pulau Pinang pada Jumaat mengumumkan pembekuan sebarang bentuk hubungan kerjasamanya dengan Dewan Pemuda PAS negeri berkuat kuasa serta-merta.

Ketua Pemudanya Ng Wei Aik berkata langkah itu adalah pendekatan terbaik dalam menunjukkan pendirian parti itu yang tidak dapat berkompromi dengan kerajaan PAS Kelantan yang terus dengan tindakan membentangkan rang  undang-undang hudud.

"Kami tidak akan mengadakan sebarang hubungan dengan mereka, tidak akan menghadiri sebarang program yang diaturkan dan sebarang mesyuarat yang dipanggil atas nama Pemuda Pakatan Rakyat Negeri Pulau Pinang kecuali Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pulau Pinang yang mengadakan mesyuarat.

"Kalau ada kempen pilihan raya kecil di Permatang Pauh, DAPSY akan turun tetapi atas nama sendiri, atau bekerjasama dengan AMK," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.   Ng yang juga Anggota Parlimen Tanjong berkata tindakan PAS itu telah menghakis keyakinan rakyat terhadap DAP secara khususnya dan pakatan pembangkang secara keseluruhannya.

"Mereka (penyokong PAS) perlu faham bahawa tindakan PAS yang membentangkan Rang Undang-Undang Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) dengan membelakangkan semangat pakatan rakyat juga telah menyinggung DAP dan PKR serta penyokong-penyokong kami," katanya.

Pada Khamis Anggota Parlimen Jelutong Jeff Ooi Chuan Aun meminta semua anggota pakatan pembangkang menggantung sebarang bentuk kerjasama dengan PAS buat sementara waktu sebagai tanda protes terhadap tindakan parti itu membentangkan rang undang-undang hudud di Kelantan.

Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob pada Rabu membentangkan rang undang-undang Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) bagi membolehkan undang-undang hudud dilaksanakan di Kelantan selepas ia ditangguhkan lebih 20 tahun lalu.

Pindaan yang dibentang dan dibahaskan di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan itu diluluskan semalam.

Pindaan kanun itu menyentuh kesalahan jenayah syariah hudud, qisas dan takzir dan ia hanya terpakai untuk orang Islam yang mukallaf yang melakukan kesalahan di Kelantan.

Dap, Pas, Hudud

Artikel Sebelum

Artikel Lain