suria

Nik Abduh Gesa Ahli PAS Beri Sokongan Kepada Kepimpinan Ulama

Nik Abduh Nik Aziz.
PETALING JAYA: Ahli PAS digesa memberikan sokongan kepada kepimpinan ulama kerana ia satu-satunya tiang seri yang mengemudi PAS.

Ahli Parlimen Pasir Mas, Nik Abduh Nik Aziz berkata walaupun pemilihan parti merupakan hak demokrasi setiap ahli parti namun, keputusan yang hendak dibuat perlulah berpandukan agama. 

"Dalam pentabdiran yang menjunjung prinsip Islam, pemilihan seseorang pemimpin perlulah dibuat dengan melihat latar belakang agama mereka terutamanya yang berpegang kepada prinsip 'amar makruf nahi mungkar', " katanya dalam satu kenyataan pada Ahad. 

Nik Abduh yang juga anak lelaki kepada Mursyidul Am PAS, Allahyarham Datuk Nik Aziz Nik Mat berkata ia merupakan salah satu cara yang akan menyelamatkan parti itu daripada pembohongan yang di bawa oleh kumpulan perosak (parasit). Hal ini kerana kumpulan ini bijak menggunakan alasan hak demokrasi rakyat seriring dengan demokrasi yang dianjurkan oleh Islam. 

"Kemudian kumpulan ini akan mencuba untuk mempengaruhi masyarakat agar meninggalkan kepimpinan Islam yang sememangnya bertentangan dengan keinginan manusia. 

"Tanpa iman yang benar-benar kuat, ramai yang akan mudah terpengaruh  golongan parasit ini," kata Nik Abduh yang merujuk kepada cubaan pemimpin PAS yang mendesak Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengosongkan kerusinya bagi memberi laluan kepada muka baharu. 

"Walaupun tindakan memilih seorang pemimpin yang fasik, tetap sah, namun ahli parti tetap menanggung dosa kerana memilih pemimpin yang salah. 

"Golongan ulama perlu berpegang teguh kepada prinsip yang mengajak ahli parti berubah, dengan menyeru mereka mengundi berasaskan syariah," katanya. 

PAS terbahagi kepada dua kumpulan iaitu kumpulan pro-ulama dan profesional, parti itu akan mengadakan pemilihan dalam tempoh tiga bulan. Pucuk pimpinan parti dipilih setiap dua tahun. 

Krisis dalaman PAS dilihat semakin serius dengan wujudnya beberapa cubaan untuk menjatuhkan Hadi oleh kumpulan profesional.

Mereka dikatakan bertindak sedemikian kerana tidak bersetuju dengan tindakan Presiden yang dikatakan mengambil keputusan yang bertentangan dengan polisi bersama Pakatan Rakyat.

Artikel Lain