suria

Kempen Penurunan Harga Barang 2015 Tetap Dilaksanakan - Hasan

KUANTAN: Kempen Penurunan Harga 2015 peringkat Kebangsaan yang bermula hari ini, tetap dilaksanakan meskipun berlaku kenaikan harga petrol dan diesel, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek.

Beliau berkata, harga petrol bukanlah satu-satunya faktor yang menentukan naik atau turun harga sesuatu barang kerana ia turut dipengaruhi faktor lain seperti ketidaktentuan cuaca, bencana alam, peningkatan kos sewa beli dan persekitaran ekonomi.

"Kenaikan harga barang ialah sesuatu yang berlaku di mana-mana saja di dunia," katanya pada sidang media selepas melancarkan kempen itu di pasar raya 'The Store' di pusat membeli-belah Kuantan Parade di sini, Ahad.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Koperasi, Usahawan dan Kepengunaan Pahang, Datuk Seri Shahiruddin Abd Moin dan Pengurus Besar Kanan Operasi Kumpulan 'The Store', Winky Pek.

Hasan berkata, kementerian mengambil pelbagai inisiatif seperti mengadakan pertemuan dengan pengilang, pemborong, pembekal, peniaga dan persatuan dalam mencari jalan untuk menurunkan harga barang.

"Usaha seperti ini yang membolehkan kita anjurkan kempen sebegini bagi meringankan beban rakyat selain mengadakan anugerah kedai harga patut. Pada 2014, sebanyak 3,744 premis menerima anugerah ini dan daripada jumlah itu, 82 premis terdapat di Pahang," katanya.

Hasan juga menyifatkan pelancaran kempen yang dilaksanakan secara serentak di seluruh negara itu sebagai sejarah kerana dilakukan sehari selepas pengumuman kenaikan harga petrol dan diesel.

Kementeriannya semalam mengumumkan harga petrol dan diesel naik 25 sen seliter mulai tengah malam tadi menjadikan harga runcit baharu bagi petrol RON95 kepada RM1.95 seliter, RON97 RM2.25 seliter dan diesel RM1.95 seliter.

Mengulas mengenai kempen itu, Hasan berkata sebanyak 16 pasar raya besar mengambil bahagian, antaranya The Store, Tesco, Aeon Big, Giant, Mydin, Milimewa Supermarket  and  Department Store, Econsave Cash  and  Carry, 99 Speed Mart, Pasar Raya D'One Mart dan Pasar Raya Hock Kee Seng.

Ia melibatkan lebih 1,000 cawangan pasar raya di seluruh negara, dengan lebih 82,000 produk keperluan harian seperti makanan dan pakaian ditawarkan dengan diskaun antara 10 ke 70 peratus, katanya.

"Tempoh kempen berbeza mengikut pasar raya, iaitu antara sebulan hingga tiga bulan mengikut kemampuan pasar raya terlibat dan sambutan pengguna, namun yang paling penting ialah walaupun harga turun, kualiti produk masih kekal," katanya.

Hasan berharap peniaga lain juga boleh mengambil inisiatif untuk menganjurkan kempen serupa bagi memastikan lebih ramai rakyat dapat menikmati faedah penurunan harga barang.

Di BUTTERWORTH,  Timbalan Ketua Setiausaha KPDNKK Datuk Azmi Lateh yang turut menyarankan peniaga kecil dan sederhana menyertai kempen itu berkata pihak
kementerian bersedia berunding dengan mereka bagi meningkatkan kefahaman dan penglibatan mereka.

"Selain berunding dengan syarikat-syarikat termasuk pembekal, pasar raya, pemborong, kami turut memberi perhatian kepada peniaga kecil dan sederhana dalam meningkatkan kesedaran supaya lebih prihatin terhadap keperluan pengguna.

"Tetapi kami faham margin keuntungan golongan berkenan tidak begitu besar kerana itu tiada paksaan untuk mereka menyertainya," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Kempen Penurunan Harga peringkat negeri oleh Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya di Aeon Big Seberang Jaya.

Katanya peniaga kecil dan sederhana turut boleh membantu pengguna dengan mempamerkan tanda harga dan memberi maklumat tepat produk yang dijual bagi
memudahkan pembeli membuat pilihan.

Dalam pada itu, Azmi memberi amaran kepada pengusaha kedai makanan termasuk pengusaha nasi kandar yang menjual pada harga tidak munasabah seperti dakwaan seekor undang dijual pada harga belasan ringgit.

Beliau menasihati pengguna membuat aduan jika mendapati harga makanan dijual terlalu tinggi untuk diambil tindakan.

Di KUCHING, Pengarah Pejabat KPDNKK Sarawak Stanley Tan berkata bagi tempoh Januari sehingga Jumaat lepas, pihaknya berjaya membuat rampasan barangan
bernilai RM279,923 kerana tidak mematuhi peraturan.

Beliau berkata rampasan itu adalah daripada 188 kes dicatatkan di seluruh negeri kerana gagal mematuhi Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011, Akta
Timbang dan Sukat 1972, Akta Perihal Perdagangan 2011, Akta Perlindungan Pengguna 1999 dan Akta Kawalan Bekalan 1961.

Katanya sepanjang penguatkuasaan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan (SKHMP) bersempena Tahun Baharu Cina dari 14 hingga 25 Februari, KPDNKK Sarawak membuat 10,587 pemeriksaan dan mencatat 13 kes membabitkan nilai rampasan RM1,945.

Tan berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Kempen Penurunan 2015 peringkat negeri oleh Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri Sarawak
(Pembangunan Usahawan) Datuk Mohd Naroden Majais. Selain itu, katanya KPDNKK Sarawak setakat tahun ini telah membuat 26,868 pemeriksaan menerusi pelbagai operasi dan menerusi Ops Catut bermula 15 Januari melakukan rampasan bernilai  RM30,124 membabitkan 133 kes.



Artikel Lain