suria

Polis Tahan Sepasang Kekasih, Rampas Syabu RM2.8 Juta

Razimi (tengah) menunjukkan peralatan serta bahan rampasan memproses dadah jenis Syabu hasil serbuan di sebuah kondominium di Bandar Pusat Puchong, Jumaat lepas ketika sesi sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang di sini, Rabu.

SERDANG: Polis berjaya membongkar sindiket makmal memproses dadah dengan merampas syabu bernilai RM2.8 juta dalam serbuan di  sebuah kondominium di Bandar Pusat Puchong di sini.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Razimi Ahmad berkata, dalam serbuan Jumaat lepas itu, polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 43 tahun dan teman wanitanya, warga Thailand, 30.

Dalam serbuan kira-kira 6 pagi itu, katanya, pasangan kekasih itu sedang memasak bahan-bahan disyaki untuk menghasilkan dadah jenis syabu di bahagian dapur kondominium itu.

"Polis turut menemukan enam butir peluru hidup jenis .38 yang disorokkan dalam sebuah kotak rokok selain merampas bahan-bahan dan peralatan memproses dadah.

"Dalam pada itu, polis turut merampas 25 paket plastik mengandungi kristal syabu seberat 175.1gram dan cecair methamphetamine sebanyak 35,119.9 gram.

Jumlah keseluruhan rampasan adalah 35,295 gram," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang, di sini, Rabu.

Razimi berkata, kedua-dua suspek dipercayai bergiat aktif sejak lima bulan lepas.

"Lelaki yang ditahan itu juga mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan kini dia menjadi 'profesional' dalam menghasilkan dadah," katanya.

Katanya, hasil siasatan polis mendapati bahan memproses dadah dipercayai dibawa masuk dari Thailand dan dadah yang dihasilkan itu untuk pasaran luar negara.

Beliau berkata hasil saringan ujian air kencing kedua-dua suspek mendapati  positif methamphetamine dan mereka ditahan reman sehingga esok.

Razimi Ahmad, syabu, Serdang

Artikel Lain