suria

Malaysia Amat Penting Kepada Indonesia - Menteri Luar Indonesia

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman (enam kanan) bersama barisan Menteri Luar ASEAN serta delegasi negara anggota ASEAN pada mesyuarat Pemukiman Menteri Luar ASEAN 2015 di sini, hari ini. Turut bersama (dari kanan), Setiausaha Agung ASEAN, Le Luong Minh, Menteri Luar Negeri Indonesia, Retno L.P Marsudi, Ketua Setiausaha Negara Kemboja, Dr Soeung Rathchavy, Duta Besar Brunei, Pengiran Anak Puteri Hajah Masna, Menteri Luar Negeri Laos, Dr Thongloun Sisoulith, Menteri Luar Negeri Vietnam, Pham Binh Minh, Menteri Luar Negeri Thailand, Jeneral Tanasak Patimapragorn, Menteri Luar Negeri Singapura, K. Shanmugam, Menteri Luar Negeri Filipina, Albert F Del Rosario dan Menteri Kesatuan ASEAN Myanmar, U Wunna Maung Lwin.

KOTA KINABALU: Menteri Luar Indonesia, Retno Marsudi berkata, Malaysia adalah negara yang amat penting kepada Indonesia dan tidak ada sebab bagi kedua-dua negara untuk tidak terus mengukuhkan hubungan dua hala yang sekian lama terjalin.

Katanya, semasa perjumpaan dua halanya dengan Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Anifah Aman dua hari lalu, mereka sependapat bahawa hubungan Malaysia dan Indonesia amat penting dan besar ertinya dan mesti diperkukuhkan.

Menurut Retno, dari segi hubungan ekonomi, Malaysia adalah antara rakan dagangan terbesar Indonesia dengan nilai dagangan antara AS$24 bilion hingga AS$25 bilion, selain Malaysia antara negara pelabur terbesar di Indonesia.

Katanya, pelancongan dua hala antara Malaysia dan Indonesia juga adalah besar serta berkembang pesat selain pertukaran pelajar yang diyakini boleh mengeratkan hubungan kedua-dua negara melalui hubungan rakyat dengan rakyat.

"Masalah yang dihadapi oleh sesebuah negara dengan negara lain adalah perkara biasa. Sedangkan dengan negara jauhpun kita mempunyai masalah apatah lagi negara yang dari segi geografinya amat dekat seperti Malaysia dan Indonesia.

"Persoalannya bagaimana kita harus mengelola permasalahan-permasalahan ini? Saya katakan kepada Menteri Luar Malaysia bahawa komunikasi yang terbuka antara kedua-dua negara, ikhlas dan jujur antara satu dengan lain, saling menghormati merupakan kunci bagi kedua-dua negara untuk menyelesaikan apa juga masalah yang wujud," katanya.

Retno berkata demikian ketika ditemuramah Bernama dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada akhir Pemukiman Menteri-Menteri Luar Asean di sini, Rabu.

Menurutnya, untuk mendepani apa juga isu dan permasalahan yang berbangkit antara kedua-dua negara, beliau percaya ia boleh diatasi melalui dialog dan komunikasi secara personal melalui hubungan akrab yang dibina dalam kalangan pemimpin Asean.

Sebagai contohnya, katanya, ketika berlaku nahas udara AirAsia Indonesia, hubungan akrab dalam kalangan pemimpin telah memudahkan komunikasi beliau dengan banyak negara terutama berkaitan dengan kewarganegaraan penumpang yang terlibat dalam nahas pesawat berkenaan.

Katanya kehadiran banyak negara membantu Indonesia dalam operasi mencari dan menyelamat, termasuk Malaysia, membuktikan semangat setiakawan untuk membantu negara yang ditimpa masalah masih kukuh dan ini mesti dipertahankan.

Mengenai Pemukiman Menteri-Menteri Luar Asean di sini, Retno berkata Indonesia mendukung penuh kedudukan Malaysia sebagai pengerusi Asean dan telah menyuarakan pandangan supaya Asean menggunakan pendekatan 'down to earth'.

Katanya Asean perlu memberi manfaat kepada rakyat dan rakyat di negara-negara Asean harus dapat merasai manfaat berkenaan dengan menghapuskan apa juga bentuk sekatan yang boleh menghalang rakyat daripada merasai manfaat itu.

Mengenai kedudukannya sebagai wanita pertama di negaranya menjadi Menteri Luar Indonesia, Retno berkata ia satu pengiktirafan kepada wanita.

Katanya ia membuktikan bahawa wanita juga boleh memikul tanggungjawab berat, sekali gus mengikis tanggapan wujudnya dasar membezakan gender, lebih-lebih lagi seperti Indonesia yang mempuyai penduduk Islam terbesar di dunia.

Malaysia, Indonesia, Retno Marsudi

Artikel Lain