suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

Tinggal dunia korporat di London demi secawan kopi, kisah pemuda bina ‘Sprezza Coffee’ dari bawah penuh inspirasi

Mirwan mula belajar mengenai dunia kopi ketika bekerja di London.

PENGALAMAN bekerja secara sambilan di sebuah kafe di London memberi seribu hikmah dan mengubah perjalanan hidup pemuda ini.

Di situlah minat Mirwan Badri Ahmad terhadap kopi mula berputik sehingga dia berjaya membuka kafe miliknya sendiri iaitu Sprezza Coffee. 

Mirwan yang ketika itu bekerja dalam bidang perbankan di London berkata, dia mula mempelajari tentang proses memanggang biji kopi yang disifatkan sebagai unik dan memberi aroma istimewa dalam secawan kopi.

"Saya bekerja di sebuah kedai sandwic iaitu Pret A Manager sekitar 2012 dan dari situ saya mula memahami dunia kopi dengan lebih mendalam.

"Saya kemudian ke Jerman untuk belajar mengenai cara memanggang kopi. Semua itu saya buat ketika masih bekerja dalam sektor perbankan di London," katanya memulakan bicara.

Pengalaman di London turut membuka mata pemuda berusia 41 tahun itu tentang budaya kopi yang dilihat berbeza dan mempunyai keunikan tersendiri. 

"Saya nampak di London banyak kedai kopi buat roasting di sebelah bar. Pelanggan boleh nampak proses memanggang dan tahu kopi yang mereka minum itu segar.

“Jadi saya fikir mungkin ini satu idea dan potensi yang bagus untuk dibuat sebagai bisnes di Malaysia,” katanya.

Usaha Mirwan sejak 2013 membuahkan hasil apabila berjaya membuka kafe sendiri.

Tinggalkan kerjaya korporat, bina kafe sendiri

Bagai sudah tertulis, perubahan sistem kerajaan Britian menyebabkan visa Mirwan tidak dapat diperbaharui sebelum dia mengambil keputusan pulang ke Malaysia dan bekerja dalam bidang perbankan korporat.

Tidak lama bertahan, fikiran Mirwan masih tertumpu kepada kopi sebelum dia mengambil berani meninggalkan kerjaya tetap dan terjun ke dunia perniagaan.

"Saya rasa macam kena fokus untuk mulakan bisnes saya. Saya mula perbaiki pelan perniagaan dan kongsi dengan kawan-kawan.

"Ada seorang kawan yang keluarganya berkemampuan dan dia cakap famili dia nak tolong saya mulakan bisnes ini. Dari situlah saya ambil keputusan untuk berhenti kerja.

"Saya bukan datang dari keluarga berada dan Alhamdulillah saya berjaya mendapat RM600,000 daripada 'angel investor' sebagai modal permulaan selepas mereka melihat pelan perniagaan saya," ceritanya.

Keputusan itu akhirnya membawa usahawan itu membuka Sprezza Coffee pada Ogos 2013 yang kini genap 13 tahun dalam industri makanan dan minuman.

Konsep menggabungkan kafe dan aktiviti roasting itu kemudiannya menjadi identiti perniagaan Mirwan.

Namun lima tahun kemudian, Mirwan mengambil keputusan mengambil alih pemilikan syarikat tersebut sepenuhnya kerana mahu mengembangkan jenama tersebut.

"Apabila ada ramai rakan kongsi dalam perniagaan, saya susah hendak ke depan. Jadi saya beritahu kepada semua shareholder, saya mahu ambil alih 100 peratus bisnes," ujarnya.

Antara menu boleh didapati jika berkunjung ke Sprezzatura Coffee.

Outlet gagal, beralih kepada bisnes digital

Selepas menjadi pemilik penuh Sprezza Coffee, Mirwan melebarkan perniagaan dengan membuka cawangan kedua di Taman Tun Dr Ismail (TTDI), Kuala Lumpur pada Januari 2019.

Bagaimanapun, Mirwan tidak menyangka keputusan itu menjadi cabaran apabila ia mengalami kerugian besar selepas enam bulan beroperasi sehingga ia terpaksa ditutup.

Namun itu tidak mematahkan semangatnya sebaliknya mengambil peluang itu dengan menambah kemahiran mempelajari cara membina laman web sendiri hanya dalam tempoh dua bulan.

Kata Mirwan, ketika itu dia melihat industri roasting mempunyai potensi untuk dipasarkan secara dalam talian.

"Kalau diimbau kembali sebelum pandemik, kebanyakan orang tidak tahu mana hendak beli biji kopi mentah.

"Bila saya mendigitalkan produk-produk ke pasaran online, saya nampak ramai sebenarnya orang buat roasting business yang kita tak pernah dengar," katanya.

Mirwan ketika berkongsi kisah perjalanan dalam program Cerita Mereka, Jiwa Malaysia.

Daripada situ, Mirwan mendapat idea untuk membina platform khas bagi pengusaha kopi menjual produk mereka secara dalam talian yang dijenamakan sebagai Buna Market pada Januari 2020.

Pada awalnya, platform tersebut mencatatkan hasil sekitar RM3,000 hingga RM4,000 pada Januari 2020 sebelum meningkat kepada kira-kira RM5,000 pada Februari.

Namun, keadaan berubah secara drastik ketika pandemik Covid-19 melanda negara apabila jualan dalam talian melonjak sehingga kira-kira RM40,000 pada April.

Daripada sekitar 30 produk, jumlahnya berkembang sehingga kira-kira 2,000 produk pada kemuncaknya, manakala hasil dalam tempoh kira-kira dua tahun mencecah RM4 juta.

Bagaimanapun, jualan dalam talian tidak lagi 'rancak' selepas kerajaan mula membenarkan orang ramai keluar rumah dan trafik ke platform dalam talian tersebut menurun dengan mendadak.

Pengalaman tersebut membuatkan Mirwan semakin memahami pentingnya membuat keputusan berdasarkan pulangan yang boleh dijana oleh setiap pelaburan.

Dalam tempoh yang sama, tekanan dalam perniagaan turut mendorong Mirwan mempelajari pelbagai kemahiran baharu termasuk memasak.

Daripada membuat kopi, dia belajar menyediakan pasta, nasi lemak, menu rendang, kek mufin, biskut dan roti.

Mirwan (kiri) bersama Ketua Pegawai Kewangan, Norhafizah Md Shariff (tengah) dan Ketua Pegawai Operasi, Zarir Mohd Rawi sempena program Cerita Mereka, Jiwa Malaysia.

Pembiayaan bantu bangkit semula

Dalam proses menyusun semula perniagaan, Mirwan turut mendapatkan pembiayaan RM50,000 dengan tempoh bayaran lima tahun melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) melalui program pembiayaan Micro-i Madani pada 2023.

Pembiayaan tersebut digunakan untuk membantu operasi kafe termasuk membeli semula perabot yang sebelum itu terpaksa dijual, menaik taraf mesin dan menyediakan modal untuk membayar pekerja.

"Bagi saya, kita buat permohonan bila sudah tahu apa tujuan ambil pembiayaan itu. Jadi kena ada rancangan dan bukannya ambil dalam keadaan tertekan.

"Lebih baik berbincang dan dapatkan nasihat daripada mereka yang sama-sama menjalankan bisnes sebelum ambil Micro-i Madani ini.

"Bila tanya kawan-kawan, semua orang cakap okey selepas menjalankan perniagaan melalui pembiayaan ini sebab ia satu pelaburan jangka panjang dan Micro-i Madani adalah pilihan terbaik," katanya lagi.

Menerusi kempen Cerita Merdeka Jiwa Malaysia, kisah Mirwan bersama Sprezzatura Coffee turut dipilih sebagai antara 69 kisah usahawan mikro BSN dari 13 negeri di seluruh Malaysia.

Sebanyak 5,500 cup sleeve atau pemegang cawan bermotif batik yang diinspirasikan daripada uniform teller BSN mengetengahkan kisah dan semangat para usahawan mikro tempatan yang terpilih.

Istimewanya, cup sleeve yang diedarkan di seluruh negara itu dihasilkan dengan kerjasama pelajar berkeperluan khas dari Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional Shah Alam.

Selepas lebih sedekad dalam industri kopi, perjalanan Mirwan bukan semata-mata tentang membina perniagaan kopi.

Tetapi ia juga mengenai keberanian untuk mencuba, menyesuaikan diri dan mencari jalan baharu setiap kali berdepan perubahan atau kekangan.

Artikel Lain

Joey BPR meninggal dunia