suria

PAS vs DAP: Pengurusan Kes Iszuree Dipecat MPPP Disebut 9 Feb

Iszuree Ibrahim

GEORGE TOWN: Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 9 Feb ini untuk pengurusan kes Bendahari PAS Pulau Pinang Iszuree Ibrahim yang mencabar keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang berhubung pemecatannya daripada semua jawatankuasa tetap Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dan pembekuan peruntukannya.

Penolong Kanan Pendaftar Nor Azah Idris menetapkan tarikh itu di dalam kamar selepas bertemu peguam Mohd Haris Abdullah yang mewakili Iszuree.

Mohd Haris memberitahu pemberita tarikh itu ditetapkan untuk mengetahui perkembangan berkenaan kebenaran yang dipohon oleh anak guamnya dalam kes itu.

Pada 14 Nov tahun lepas, Iszuree memfailkan permohonan semakan kehakiman  dengan menamakan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang sebagai  responden pertama, MPPP sebagai responden kedua dan kerajaan negeri Pulau Pinang sebagai responden ketiga.

Beliau memfailkan permohonan itu untuk membatalkan surat responden kedua bertarikh 26 Sept 2014 dan keputusan responden pertama yang dibuat pada 25 Sept 2014 yang telah memutuskan Iszuree dikeluarkan daripada semua jawatankuasa tetap responden kedua dan pembekuan semua peruntukannya.

Beliau juga memohon kebenaran mahkamah untuk membatalkan surat responden kedua bertarikh 29 Sept 2014 dan keputusan responden pertama yang dibuat pada 25 Sept 2014 yang telah memutuskan bahawa beliau dikeluarkan daripada semua jawatankuasa tetap responden kedua, mesyuarat ad-hoc dan pembekuan peruntukan secara serta merta.

Tuntutan lain yang dibuat ialah sekiranya mahkamah menerima kedua-dua  permohonan itu, Iszuree juga memohon perintah sementara untuk menggantung keputusan responden pertama yang disampaikan kepadanya melalui surat responden kedua bertarikh 26 Sept dan 29 Sept 2014 sehingga usul substantif didengar.

Beliau juga memohon responden pertama, kedua dan ketiga membayar ganti rugi kepadanya seperti yang ditaksirkan oleh mahkamah kelak dan kos permohonan sampingan ditanggung dan dibayar oleh ketiga-tiga responden dalam apa keadaan sekalipun.

MPPP. Pulau Pinang, DAP, PAS

Artikel Lain