TUJUH lelaki warga Yaman bertindak luar kawalan apabila sanggup melakukan aksi bahaya dengan menjulurkan badan dan duduk di tingkap dua buah kenderaan yang sedang bergerak, semata-mata mahu meraikan perkahwinan rakan mereka.Kejadian berlaku di Jalan Sungai Besi, Kuala Lumpur kira-kira pukul 12.30 tengah malam Jumaat itu tular di platform Threads selepas rakaman aksi mereka tersebar. Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua kenderaan terbabit sedang dalam perjalanan dari Jalan Sungai Besi menghala ke Jalan Bukit Bintang.Menurutnya, semua individu terlibat merupakan lelaki warga Yaman berusia antara 23 hingga 26 tahun."Lima daripada mereka merupakan penuntut di sebuah universiti awam di Kedah, manakala dua lagi adalah graduan universiti," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.Hasil soal siasat mendapati kumpulan berkenaan melakukan aksi tersebut sekadar untuk berseronok ketika meraikan majlis perkahwinan seorang rakan.Susulan itu kesemua tujuh lelaki berkenaan ditahan bagi membantu siasatan sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.Kes disiasat mengikut Seksyen 336 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan gopoh atau cuai sehingga membahayakan nyawa atau keselamatan diri orang lain.Jika sabit kesalahan, mereka boleh dipenjara sehingga tiga bulan atau didenda maksimum RM500 atau kedua-duanya sekali.Dalam pada itu, orang ramai yang mempunyai maklumat atau menyaksikan kejadian berkenaan diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Balai Polis Trafik Tun H.S. Lee atau mana-mana balai polis berhampiran. -The Star