suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

LRT3 terima penarafan lima bintang, INFRASTAR pacu pembinaan lebih mampan

LRT3 terus dipacu ke arah pembangunan infrastruktur lebih mampan menerusi penerapan aspek kelestarian dalam reka bentuk dan pembinaannya. -Foto The Star

SISTEM pengangkutan awam di Malaysia secara amnya berada pada tahap maju, moden, dan antara yang terbaik di Asia Tenggara kerana ia mampu diurus dengan sempurna.

Hala tuju dan pengurusannya kini dipandu oleh Dasar Pengangkutan Negara (DPN) 2019-2030 bagi membina ekosistem yang cekap dan mampan.

Antara pencapaian terbaik ialah pengenalan Sistem Transit Aliran Ringan (LRT) pertama iaitu STAR LRT (kini dikenali sebagai Laluan Ampang dan Laluan Sri Petaling) pada 16 Disember 1996, menyaksikan sistem pengangkutan awam ini terus berkembang pesat dengan pengenalan Monorel Kuala Lumpur pada 31 Ogos 2003, selain mengembangkan jajaran LRT dan Sistem Mass Rapid Transit (MRT) pada 16 Disember 2016.

Pencapaian itu bukan sahaja menjadi ukuran penting pembangunan sesebuah negara tetapi usaha kerajaan dalam mengurangkan kebergantungan kepada kenderaan persendirian.

Pembukaan Laluan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) pada 29 Jun lalu bagi laluan sepanjang 37.8 kilometer (km) menghubungkan Bandar Utama hingga Johan Setia, termasuk 2.5 km laluan bawah tanah antara usaha terbaharu yang amat penting dalam sistem pengangkutan awam negara. 

Namun, LRT3 bukan sekadar untuk memperkukuh mobiliti apabila ia turut mencatat sejarah sebagai projek infrastruktur pertama menerima penarafan lima bintang Sustainable Infrastructure Rating Tool (INFRASTAR), iaitu Alat Penarafan Infrastruktur Mampan.

Untuk lebih memahami tentang INFRASTAR, mStar menyediakan empat siri laporan khas bagi mengupas komitmen terhadap pembinaan mampan dan manfaat LRT3 kepada rakyat.

Membina projek infrastruktur berskala besar bukan sekadar memastikan struktur siap mengikut jadual tetapi perlu mengikut kos dan spesifikasi ditetapkan.

Dengan penggunaan sumber yang besar serta melibatkan pelbagai aktiviti dan pakej kerja, projek seperti Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) turut memberi kesan kepada komuniti, alam sekitar serta ekonomi.

Justeru, aspek kelestarian perlu dipertimbangkan sejak peringkat awal dan bukan hanya diberi perhatian selepas projek siap dilaksanakan.

ARTIKEL BERKAITAN: Antara penarafan lima bintang LRT3 dan ujian prestasi sebenar kelestarian infrastruktur

Menurut Bahagian Pembangunan Teknologi (BPT), Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), Muhamad Afif Mohamed Jamil, perkara itu menjadi antara asas kepada pelaksanaan INFRASTAR.

Afif berkata INFRASTAR ialah alat penarafan infrastruktur yang objektif dan berasaskan bukti, membantu industri memasukkan pertimbangan kemampanan sejak peringkat konsep dan reka bentuk sebelum diterjemahkan kepada spesifikasi, perolehan serta pelaksanaan pembinaan.

Melalui pendekatan tersebut, pemilik projek boleh menetapkan sasaran, mengenal pasti risiko, menyeragamkan bukti antara pakej kerja serta menilai kredit secara konsisten.

"Ini bermakna penilaian tidak hanya bergantung kepada apa yang berlaku selepas projek siap.

Sebaliknya, garis panduan program penarafan merangkumi pelbagai aspek termasuk guna tanah, sumber, tenaga dan air, biodiversiti, perlindungan sosial dan budaya serta penyelarasan pihak berkepentingan," katanya kepada mStar.

INFRASTAR dilancarkan pada 2019

INFRASTAR dilancarkan pada Mac 2019 dan menilai projek pada dua peringkat iaitu Reka Bentuk serta Reka Bentuk dan Pembinaan. 

Penilaian pada peringkat Reka Bentuk bersifat provisional, manakala penilaian penuh memerlukan pengesahan pelaksanaan semasa pembinaan. 

Namun, alat ini tidak menawarkan penarafan khusus bagi prestasi operasi dan penyelenggaraan (O&M) selepas projek mula digunakan. 

Sistem penarafan bintang pula bermula pada skor kredit 40 peratus, dengan lima bintang sebagai tahap tertinggi. 

Kerangka teknikal INFRASTAR mempunyai enam kriteria teras, manakala Inovasi dan Insentif menjadi kriteria bonus tambahan. 

Enam kriteria teras berkenaan ialah Pra-Reka Bentuk dan Pra-Pembinaan; Guna Tanah Tapak; Ekologi dan Alam Sekitar; Bahan, Sumber dan Sisa; Prestasi Tenaga; serta Sosial dan Budaya.

Follow up on the sinkhole at the LRT3 project in Johan Setia, KlangNORAFIFI EHSAN / The Star

Aspek kelestarian turut menjadi pertimbangan sepanjang pelaksanaan projek di sebalik pembinaan.

LRT3 antara projek lima bintang

Dalam konteks pembinaan LRT3, CIDB merekodkan projek Bandar Utama hingga Johan Setia sebagai projek infrastruktur pertama menerima penarafan INFRASTAR lima bintang bagi fasa Reka Bentuk.

Bagaimanapun, penarafan tersebut bersifat provisional dan penarafan penuh bergantung kepada pengesahan selepas pelaksanaan pembinaan.

Pengiktirafan itu turut disertai Memorandum Persefahaman (MoU) antara CIDB dan MRCB George Kent Sdn Bhd bagi mempertingkatkan program dan amalan baik kelestarian alam sekitar dalam kerja pembinaan.

MRT Laluan Putrajaya pula menerima penarafan lima bintang bagi Reka Bentuk pada Januari 2021.

Menurut CIDB, antara impak utama penarafan ialah kewujudan bahasa, bukti dan tanda aras bersama bagi projek berskala besar.

Namun, penarafan itu sendiri tidak membuktikan semua hasil operasi selepas pentauliahan kerana hasil tersebut perlu diukur melalui data projek.

Cabaran terbesar menjadikan kelestarian boleh diukur

Bagi projek mega, antara cabaran utama ialah menetapkan elemen kemampanan kepada keperluan projek yang boleh diukur tanpa menjejaskan aspek kos, masa dan kualiti.

Afif berkata keadaan itu memerlukan sasaran penilaian jelas, peruntukan dalam reka bentuk dan kontrak, kaedah perolehan yang bersesuaian serta bukti konsisten daripada pemilik projek, perunding, kontraktor, pembekal dan pihak berkuasa.

"Cabaran turut melibatkan tadbir urus dan sempadan projek yang tidak jelas, penyelarasan antara pemilik, perunding, kontraktor, pembekal, fasilitator dan penilai.

"Kesediaan bukti berkaitan bahan, sisa, tenaga, air, bunyi dan getaran serta penglibatan komuniti turut menjadi cabaran.

"Selain itu kekurangan kemahiran, perubahan reka bentuk atau skop dan tanggapan bahawa kemampanan hanya menambah kos," ujarnya.

AFTER 50 years in business, Emporium Makan, one of the oldest food courts in Klang has being demolished to make way for a Light Rail Transit Phase 3 (LRT3) station.

Kelestarian diterapkan dalam pembangunan infrastruktur dari rekaan bentuk hingga pembinaan.

Kos jangka panjang turut diambil kira

Dalam menilai kelestarian sesuatu projek, fokus bukan hanya kepada kos pembinaan awal.

INFRASTAR menilai sama ada keputusan awal projek mengambil kira pendekatan seluruh hayat, komponen tahan lama dan mudah disenggara, pelan pengurusan operasi dan penyelenggaraan, analisis kos-faedah serta kecekapan bahan, air dan tenaga.

Pendekatan tersebut mengalihkan fokus daripada kos pembinaan awal semata-mata kepada kos, risiko dan kebolehgunaan aset sepanjang hayat perkhidmatannya.

Namun, penarafan INFRASTAR tidak memberi penarafan khusus kepada prestasi operasi dan penyelenggaraan.

Justeru, penjimatan jangka panjang perlu disahkan selepas pentauliahan melalui data sebenar seperti penggunaan tenaga dan air, kos penyelenggaraan, kekerapan kerosakan, masa henti serta kos penggantian.

Risiko rantaian bekalan

Dalam keadaan turun naik harga bahan, gangguan rantaian bekalan dan perubahan teknologi, pendekatan INFRASTAR turut mengambil kira daya tahan projek.

Antaranya ialah kebolehsuaian terhadap perubahan iklim, strategi sumber fizikal, pendekatan seluruh hayat, komponen tahan lama dan mudah disenggara, analisis kos-faedah, nilai untuk wang, pengurusan risiko serta kecekapan sumber.

Penggunaan bahan kitar semula dan bahan hijau atau serantau, pengangkutan bahan, pengurusan sisa, tenaga serta penggunaan Plant, Machinery and Equipment (PME) turut diberi perhatian.

Langkah tersebut boleh mengurangkan pembaziran dan pendedahan kepada turun naik harga bahan atau tenaga, selain membolehkan pilihan bahan dan kaedah alternatif dikenal pasti lebih awal.

Bagaimanapun, penarafan tidak menghapuskan risiko pasaran atau rantaian bekalan.

Sebaliknya, risiko itu dijadikan sebahagian daripada keputusan reka bentuk, perolehan dan pembinaan yang didokumen serta boleh diaudit.

(from 2nd right)Works Minister Baru Bian accompanied byDatuk Ir Elias IsmailDeputy Chief Excutive CIDB Malaysia and MRCB George Kent Sdn Bhd infrastructure director Mohammad Amjad Faruq Mohammad Haniff during theworking visit to the LRT3 construction site Johan Stia in KlangMRCB George Kent Sdn Bhd infrastructure director Mohammad Amjad Faruq Mohammad Haniff

Bekas Menteri Kerja Raya, Baru Bian (tiga dari kanan), diiringi Timbalan Ketua Eksekutif CIDB Malaysia, Datuk Elias Ismail, serta Pengarah Infrastruktur MRCB George Kent Sdn Bhd, Mohammad Amjad Faruq Mohammad Haniff, ketika lawatan kerja ke tapak pembinaan LRT3 di Johan Setia, Klang pada 2020.

Bukan sekadar binaan rendah karbon

INFRASTAR turut memberi isyarat kepada industri mengenai penggunaan teknologi, bahan dan kaedah pembinaan yang lebih rendah karbon.

Antara kredit yang dinilai termasuk pengurangan karbon terbenam (Embodied Carbon), perolehan bahan hijau dan penggunaan bahan dengan kandungan kitar semula. 

Penilaian turut merangkumi perancangan laluan dan pengangkutan bahan, laporan pelepasan pengangkutan, pengurangan serta pengalihan sisa, kecekapan penggunaan tenaga dan penggunaan tenaga alternatif.

Apabila kriteria tersebut dimasukkan ke dalam spesifikasi dan kontrak, kontraktor serta pembekal mempunyai dorongan lebih jelas untuk menawarkan bahan dan kaedah rendah karbon.

Masyarakat turut menjadi ukuran

Kelestarian projek juga tidak terhad kepada alam sekitar sebaliknya, kriteria sosial dan budaya merangkumi kesan trafik dan pengangkutan, keselamatan dan kesihatan, konsultasi pihak berkepentingan serta penglibatan komuniti turut diambil kira.

Ia turut meliputi kesan kepada komuniti setempat, akses bukan bermotor, tanggungjawab sosial, keselesaan pengguna serta pemuliharaan nilai sejarah dan budaya.

Bagi masyarakat, pendekatan ini boleh menghasilkan mitigasi lebih awal, akses lebih selamat, pengurangan gangguan pembinaan, mekanisme aduan dan konsultasi lebih teratur serta perlindungan warisan dan ekosistem.

Namun, kesan sebenar tetap bergantung kepada pelaksanaan, pemantauan dan respon projek terhadap maklum balas komuniti.

Dari sudut alam sekitar pula, INFRASTAR menggalakkan pengurusan guna tanah, ekologi, air, udara, bahan, sisa dan tenaga yang lebih baik.

Manakala pada sudut ekonomi, ia menyokong kecekapan sumber, pengurusan risiko dan potensi kos penyelenggaraan lebih rendah, manakala pembangunan bandar turut mengambil kira akses, trafik, hubungan rangkaian, guna tanah dan kebolehsuaian iklim.

LRT3 dengan penarafan lima bintang pada peringkat Reka Bentuk menjadi satu contoh bagaimana pertimbangan kelestarian boleh dimasukkan sejak awal projek.

Namun, lima bintang bukanlah penamat perjalanan.

Persoalan yang lebih penting ialah bagaimana komitmen tersebut diterjemahkan ketika pembinaan dan akhirnya dibuktikan melalui prestasi sebenar selepas aset digunakan.

Artikel Lain

Joey BPR meninggal dunia