suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

Antara penarafan lima bintang LRT3 dan ujian prestasi sebenar kelestarian infrastruktur

Stesen Stadium Shah Alam menjadi antara komponen penting dalam pembangunan LRT3 yang turut menekankan aspek kelestarian.

DI sebalik penarafan lima bintang Transit Aliran Ringan 3 (LRT3), ada satu lagi aspek penting yang perlu diberi perhatian iaitu bagaimana prestasi sebenar infrastruktur itu dapat diukur selepas ia mula digunakan.

Sustainable Infrastructure Rating Tool (INFRASTAR), iaitu Alat Penarafan Infrastruktur Mampan, menilai projek pada peringkat Reka Bentuk serta Reka Bentuk dan Pembinaan. Penilaian Reka Bentuk bersifat provisional, manakala penilaian penuh memerlukan pengesahan pelaksanaan semasa pembinaan.

Namun, alat INFRASTAR itu tidak menawarkan penarafan khusus bagi prestasi operasi dan penyelenggaraan (O&M).

Menurut Bahagian Pembangunan Teknologi (BPT), Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), Muhamad Afif Mohamed Jamil, kejayaan penarafan dan keberkesanan aset selepas beroperasi perlu dilihat sebagai dua perkara berbeza.

Kejayaan penarafan diukur melalui kredit dan bukti yang disahkan penilai, manakala keberkesanan aset selepas beroperasi perlu diukur melalui Petunjuk Prestasi Utama (KPI) operasi projek.

Data selepas pentauliahan jadi ukuran

Bagi menentukan sama ada objektif kelestarian benar-benar tercapai selepas projek digunakan, data penarafan perlu dilengkapkan dengan KPI operasi, penyelenggaraan, alam sekitar dan sosial.

Antara indikator yang boleh digunakan ialah penggunaan tenaga dan air, prestasi aset, aduan komuniti, keselamatan, penyelenggaraan dan ketahanan perkhidmatan.

Pendekatan itu membolehkan perbezaan antara komitmen yang dirancang, pelaksanaan ketika pembinaan dan prestasi sebenar selepas projek digunakan dikenal pasti.

Ini bermakna ukuran kelestarian tidak berhenti pada pencapaian kredit ketika penilaian, sebaliknya perlu dilihat melalui prestasi aset selepas pentauliahan.

Tapak pembinaan LRT3 yang menerima penarafan lima bintang Sustainable INFRASTAR bagi fasa Reka Bentuk.

Dalam konteks LRT3, antara aspek yang paling mencabar ialah ia memerlukan pemantauan berterusan dan penyelarasan merentas banyak pakej kerja.

Ia termasuk bunyi dan getaran, trafik dan akses, komunikasi serta aduan komuniti, habuk dan kualiti udara, air larian, sisa pembinaan, perlindungan ekologi serta kemudahan dan kebajikan pekerja.

Cabaran itu memerlukan penyelarasan antara pihak yang terlibat supaya aspek kelestarian yang ditetapkan dapat dilaksanakan dan dipantau secara konsisten.

Pertimbangan kos dan rantaian bekalan

Dalam keadaan peningkatan kos bahan binaan, gangguan rantaian bekalan dan perubahan teknologi, Sustainable INFRASTAR mengambil kira aspek kebolehsuaian terhadap perubahan iklim, strategi sumber fizikal dan pendekatan seluruh hayat.

Ia turut meliputi integriti komponen untuk penyelenggaraan rendah, analisis kos faedah dan nilai untuk wang serta pengurusan risiko.

Selain itu, Sustainable INFRASTAR mengambil kira kecekapan sumber, bahan kitar semula, bahan hijau atau serantau, pengangkutan bahan, sisa, tenaga serta penggunaan Plant, Machinery and Equipment (PME).

ARTIKEL BERKAITAN: LRT3 terima penarafan lima bintang, INFRASTAR pacu pembinaan lebih mampan

Langkah tersebut berpotensi mengurangkan pembaziran dan pendedahan kepada turun naik harga bahan atau tenaga, selain membolehkan pilihan bahan dan kaedah alternatif disediakan lebih awal.

Bagaimanapun, penarafan tidak menghapuskan risiko pasaran atau rantaian bekalan.

Sebaliknya, risiko berkenaan dijadikan sebahagian daripada keputusan reka bentuk, perolehan dan pembinaan yang didokumenkan serta boleh diaudit.

Penjimatan perlu dibuktikan

Elemen kelestarian yang dimasukkan sejak peringkat reka bentuk berpotensi membantu mengurangkan kos pembinaan dan operasi.

Antara saluran penjimatan termasuk kurang reka bentuk semula, penggunaan bahan lebih cekap, pengurangan sis serta penggunaan komponen yang tahan lama dan mudah disenggara.

Selain itu, penggunaan tenaga serta air yang lebih rendah juga pengurangan masa henti dan penggantian pramatang turut diambil kira.

Namun, penjimatan tidak berlaku secara automatik.

Untuk mengesahkan manfaat kewangan, projek perlu mempunyai garis asas kos seluruh hayat dan membandingkannya dengan prestasi sebenar.

Antara data yang sesuai ialah Kos Modal (CAPEX) tambahan atau penjimatan, Kos Operasi (OPEX) tenaga dan air, kos buruh serta alat ganti, kekerapan kegagalan, masa henti, tempoh penggantian dan nilai sisa.

Kerja pembinaan LRT3 turut mengambil kira aspek kelestarian menerusi pelaksanaan Sustainable INFRASTAR sebagai penarafan infrastruktur mampan.

Manfaat kepada masyarakat bukan sekadar ketika pembinaan

Dari perspektif masyarakat, pendekatan kelestarian membolehkan isu sosial dan komuniti dipertimbangkan sebagai sebahagian daripada penilaian formal.

Kesan trafik dan pengangkutan, keselamatan dan kesihatan, konsultasi pihak berkepentingan, penglibatan komuniti serta kesan kepada komuniti setempat antara aspek yang diberi perhatian.

Akses bukan bermotor, tanggungjawab sosial, keselesaan pengguna serta pemuliharaan nilai sejarah dan budaya turut termasuk dalam pertimbangan tersebut.

Pendekatan itu boleh menghasilkan mitigasi lebih awal, akses lebih selamat, pengurangan gangguan pembinaan serta mekanisme aduan dan konsultasi yang lebih teratur.

Namun, kesan sebenar tetap bergantung kepada pelaksanaan, pemantauan dan respons projek terhadap maklum balas komuniti.

Kelestarian perlu dilihat sepanjang hayat aset

Dari sudut jangka panjang, Sustainable INFRASTAR menggalakkan pertimbangan terhadap pengurusan guna tanah, ekologi, air, udara, bahan, sisa dan tenaga.

Bagi pembangunan bandar pula, aspek akses, trafik, hubungan rangkaian, guna tanah dan kebolehsuaian iklim turut diberi perhatian.

Kualiti hidup pula melibatkan bunyi, getaran, keselamatan, kesihatan, komuniti, budaya dan biodiversiti.

Pendekatan seluruh hayat turut melihat sama ada keputusan awal projek mengambil kira komponen yang tahan lama dan mudah disenggara, pelan pengurusan O&M, analisis kos faedah serta kecekapan bahan, air dan tenaga.

Fokus itu mengalihkan perhatian daripada kos pembinaan awal semata-mata kepada kos, risiko dan kebolehgunaan aset sepanjang hayat perkhidmatannya.

Public using LRT Shah Alam Line for the firstday opening. — FAIHAN GHANI/The Star

Pelancaran LRT3 melengkapkan usaha pembangunan infrastruktur mampan menerusi penarafan Sustainable INFRASTAR.

INFRASTAR perlu berkembang bersama industri

Bagi memastikan Sustainable INFRASTAR kekal relevan dengan perkembangan teknologi, perubahan iklim dan keperluan industri pembinaan, beberapa penambahbaikan dikenal pasti sebagai keutamaan.

Antaranya ialah semakan berkala terhadap risiko iklim fizikal dan adaptasi, karbon seluruh hayat, ekonomi kitaran, biodiversiti dan hasil sosial.

Penggunaan bukti digital melalui Building Information Modelling (BIM), Common Data Environment (CDE), sensor dan analitik turut dilihat penting, selain pengukuhan kualiti data serta audit.

Hubungan yang lebih jelas antara penarafan Reka Bentuk dan Pembinaan dengan KPI selepas penarafan juga perlu diperkukuhkan.

Pembangunan kompetensi turut menjadi sebahagian daripada hala tuju itu menerusi program fasilitator dan Assessor Sustainable INFRASTAR serta latihan berkaitan perolehan hijau dan life-cycle costing.

Daripada penarafan kepada bukti sebenar

Bagi LRT3, penarafan lima bintang menunjukkan pencapaian pada peringkat penilaian yang ditetapkan.

Namun, keberkesanan sebenar aset selepas digunakan memerlukan ukuran yang berbeza.

Menurut CIDB, penilaian formal dibuat berdasarkan peratusan kredit daripada enam kriteria teras, 27 kriteria dan 89 sub-kriteria dalam panduan teknikal, manakala penarafan bintang bermula pada skor kredit 40 peratus dengan lima bintang sebagai tahap tertinggi.

Selepas pentauliahan, data berkaitan operasi, penyelenggaraan, alam sekitar dan sosial pula diperlukan untuk melihat sama ada hasil yang dirancang benar-benar tercapai.

Akhirnya, ukuran kejayaan sebuah infrastruktur mampan bukan hanya terletak pada penarafan yang diterima ketika reka bentuk atau pembinaan.

Tetapi ukurannya adalah pada sejauh mana komitmen itu dapat diterjemahkan kepada prestasi sebenar yang boleh diukur sepanjang hayat aset. 

Artikel Lain

Joey BPR meninggal dunia