BEKAS Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan (BN-Tapah) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur terhadap tiga pertuduhan rasuah membabitkan lebih RM1 juta berkaitan kelulusan pekerja asing.Saravanan, 58, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi pada Jumaat. "Saya faham pertuduhan. Saya mengaku tidak bersalah," katanya.Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, Saravanan didakwa menerima wang tunai masing-masing RM150,000 dan RM350,000 daripada pengarah Vectica Resources Sdn Bhd, Tan Teck Lim, melalui Syed Amirul Syed Ahmad di Bukit Jalil Golf & Country Resorts dan Jalan Telawi 3, Bangsar pada 16 Jun 2022 dan 7 Julai 2022.Bagi pertuduhan ketiga, Saravanan didakwa menerima RM597,000 melalui cek daripada individu sama yang dimasukkan ke dalam akaun bank Big Seven Ventures Sdn Bhd di Maybank Jalan Klang Lama, Taman Desa pada 7 Julai 2022.Wang berkenaan didakwa sebagai suapan kepadanya dalam kapasiti sebagai Menteri Sumber Manusia untuk meluluskan kuota 1,000 pekerja asing bagi TYKB Engineering Sdn Bhd.ARTIKEL BERKAITAN: Saravanan Diperintah Bayar RM1.6 Juta Kepada Syarikat Kerana Langgar PerjanjianSaravanan didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, jika sabit kesalahan.Timbalan Pendakwa Raya Julaila Jamaludin memberitahu mahkamah tertuduh didakwa atas kesalahan yang tidak boleh dijamin dan pihak pendakwaan tidak membantah sekiranya mahkamah menggunakan budi bicara untuk membenarkan ikat jamin.Bagaimanapun, pihak pendakwaan mencadangkan jaminan RM800,000 dengan seorang penjamin serta memohon mahkamah mengenakan syarat tambahan."Tertuduh perlu melaporkan diri di pejabat SPRM terdekat dan menyerahkan pasport kepada mahkamah," katanya.Datuk Geethan Ram Vincent membantah jumlah jaminan itu dengan alasan ia terlalu tinggi.Dia berkata jaminan bukan bertujuan menghukum tertuduh dan mencadangkan jumlah RM300,000."Tertuduh bertekad untuk membersihkan namanya. Kami tidak membantah syarat tambahan jaminan kecuali berhubung penyerahan pasport," katanya.Hakim Azura kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM450,000 dengan seorang penjamin."Tertuduh perlu melaporkan diri di pejabat SPRM terdekat dengan rumahnya, sekali setiap tiga bulan. Tertuduh dilarang mengganggu saksi," katanya.Kes disebut semula pada 29 September depan. - The Star.