PETALING JAYA: "Saya tumpang gembira dan doakan kebahagiaan dia," kata Pak Rahim kepada menantunya, Azrai Izet Mohamad.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai keputusan Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam yang mengesahkan pernikahan menantunya itu dengan isteri kedua, Suzieliana Zainuddin, 37, di Songkhla, Thailand pada tahun lalu adalah mengikut hukum syarak.Malah, bapa kepada empat orang anak itu memfailkan permohonan daftar nikah di mahkamah tersebut pada awal November tahun lalu selepas menikahi Suzieliana sebagai isteri keduanya di negara jiran pada tahun yang sama.
Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah, Atrasina Mohd Zahrullail pada Selasa mengesahkan pernikahan pasangan terbabit dilakukan mengikut hukum syarak.
Atrasina dalam keputusannya menyatakan, mahkamah berpuas hati rukun nikah adalah sempurna sekali gus membenarkan permohonan Azrai Izet, 39, dan Suzieliana, 37, untuk mengesahkan pernikahan itu.
Pasangan tersebut hadir ditemani Peguam Syarie, Wan Amir Akram Zainal Abdin.
Diminta mengulas mengenai keputusan itu, Azrai Izet bagaimanapun enggan memberikan sebarang komen.
"No komenlah", katanya ringkas.


