suria

Malaysia Kemuka Cadangan Bina Lapangan Terbang Baharu Di Nepal

KUALA LUMPUR: Malaysia telah mengemukakan cadangan untuk melaksanakan pembinaan lapangan terbang antarabangsa baharu di Nepal.

Duta Khas (Infrastruktur) Malaysia ke India dan Asia Selatan Datuk Seri Dr S Samy Vellu berkata pihak Malaysia masih menantikan maklum balas rasmi daripada pihak berkuasa Nepal, sebelum memulakan rundingan.

"Saya mengunjungi Nepal kira-kira dua bulan lepas dan menyampaikan mesej kepada Perdana Menteri Nepal, hasrat kita untuk melaksanakan projek lapangan terbang tersebut. Kerajaan kemudiannya bersetuju dengan permintaan kami dan kami mengemukakan cadangan," katanya kepada pemberita selepas Sidang Kemuncak Pelaburan Nepal 2015 di sini, Selasa.

Selain projek lapangan terbang, Samy Vellu berkata Malaysia turut berminat untuk menjalankan pelbagai projek lebuh raya yang dirancang kerajaan Nepal.

"Kadar pertumbuhan yang tinggi ketika ini dalam pembangunan infrastruktur dan pembinaan di Malaysia menunjukkan peserta industri tempatan telah didedahkan kepada projek dengan pelbagai kesukaran dan mampu menunjukkan prestasi dalam arena global," katanya.

Beliau berkata lokasi strategik Nepal di antara dua gergasi ekonomi dunia yang sedang pesat membangun, China di Utara dan India di Selatan, Timur dan Barat, baik untuk pelaburan.

Sehubungan itu, beliau menggesa syarikat-syarikat Malaysia memanfaatkan platform tersebut dan merapatkan hubungan dengan syarikat-syarikat Nepal serta menjadi yang pertama meluaskan kedudukan dalam sektor infrastruktur Nepal.

"Saya telah menyatakan kepada Perdana Menteri Nepal bahawa dengan perancangan jalan raya yang baik, lapangan terbang dan infrastruktur lain, kita sama-sama boleh menjadikan negara ini 'little Switzerland' di timur'," kata Samy Vellu.

Sementara itu, Menteri Pembangunan Bandar Nepal Dr Narayan Khadka berkata pelabur Malaysia aktif di Nepal dalam kira-kira 30 projek, dan meliputi semua sektor.

Beliau mengharapkan lebih banyak Pelaburan Langsung Asing Malaysia pada masa akan datang.

Narayan berkata Nepal memerlukan pelaburan dalam infrastruktur fizikal untuk mencapai status negara membangun menjelang 2022, dan perlu melabur minimum 30 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasarnya (KDNK) dalam pembentukan modal tetap.

"Bilangan ini telah berlegar sekitar dua puluhan dalam tempoh tiga tahun lalu, dan untuk merapatkan jurang ini, tambahan NPR 160 bilion perlu dilaburkan dalam tahun fiskal ini.

"Bajet kerajaan bagi perbelanjaan modal pada tahun ini ialah NPR 116 bilion, meningkat lebih NPR 30 bilion jika dibandingkan sebelum ini.

"Ini jelas menunjukkan perlunya pelaburan swasta dalam infrastruktur fizikal," katanya.

Beliau berkata biasanya, kebanyakan projek infrastruktur di Nepal dibiayai  kerajaan, dengan kerjasama pelbagai agensi.

"Hari ini, kami percaya keupayaan teknikal, kewangan dan pengurusan sektor swasta, apabila digunakan dalam pelaksanaan projek infrastruktur berskala besar, membawa kepada projek-projek tersebut siap dengan cekap dan pembangunan ekonomi yang pesat," kata Narayan.

Nepal, India, Malaysia

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain