suria

Kemas Kini Permohonan Matrikulasi Sesi 2015/2016 Dibuka 4 Feb

PUTRAJAYA: Permohonan untuk mengemas kini borang permohonan bagi mengikuti program matrikulasi sesi 2015/2016 akan dibuka mulai 4 Feb hingga 25 Feb depan.

Menurut kenyataan Bahagian Matrikulasi, Kementerian Pendidikan hari ini, pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2014 yang membuat permohonan melalui Internet diminta mengemas kini maklumat melalui laman sesawang kementerian iaitu www.moe.gov.my di ruangan e-Perkhidmatan.

Untuk mengemas kininya pelajar hanya perlu memasukkan nombor kad pengenalan dan nombor angka giliran SPM, menurut kenyataan itu.

Keputusan untuk ke program matrikulasi akan dikeluarkan melalui laman sesawang kementerian dalam tempoh 30 hari bekerja selepas keputusan SPM diumum secara rasmi.

"Pelajar atau pemohon tidak perlu menghantar salinan keputusan SPM ke Bahagian Matrikulasi kerana keputusan berkenaan akan diambil daripada Lembaga Peperiksaan selepas keputusan SPM diumumkan," menurut kenyataan itu.

Pelajar yang ditawarkan ke program matrikulasi perlu mencetak sendiri surat tawaran kerana tawaran akan dikeluarkan secara dalam talian sepenuhnya.

Untuk maklumat lanjut, hubungi talian bantuan Bahagian Matrikulasi di 03-88844083/4036/4040 dari 8.30 pagi hingga 4.30 petang (hari bekerja sahaja).

Matrikulasi

Artikel Sebelum

Artikel Lain