suria

Mahkamah Persekutuan Benar Negeri Sembilan Rayu Kes Transgender

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan pada Selasa membenarkan permohonan rayuan kerajaan Negeri Sembilan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan berhubung kebenaran transgender lelaki Islam mengenakan pakaian perempuan.

Panel lima Hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai Tan Sri Md Raus Sharif ketika membuat keputusan membenarkan pihak perayu mengemukakan hanya satu persoalan undang-undang dalam rayuan kes berkenaan.

Persoalan yang perlu dihujah ialah sama ada Seksyen 66 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 1992 bertentangan dengan  Artikel 5, 8, 9, dan 10 Perlembagaan Persekutuan.

Seksyen 66 memperuntukkan kesalahan seorang lelaki Islam berpakaian atau berlagak seperti wanita di tempat awam mengikut undang-undang Islam.

Sementara itu peguam kanan, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang bertindak sebagai ketua peguam mewakili Kerajaan Negeri Sembilan ketika ditemui di luar mahkmah berkata pihaknya diberi tempoh selama sebulan bagi tujuan pengurusan kes sebelum rayuan difailkan di Mahkamah Persekutuan.

Pada 7 November tahun lepas, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan dibuat oleh tiga juru mekap pengantin Islam, Muhamad Juzaili Mohamad Khamis, 26; Syukor Jani, 28; dan Wan Fairol Wan Ismail, 30 dan mengisytiharkan seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah Negeri (Negeri Sembilan) 1992 sebagai tidak sah dan tidak berperlembagaan.

Mahkamah Rayuan mengubah keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan semakan kehakiman tiga orang itu supaya seksyen 66 berkenaan diisytiharkan sebagai tidak berperlembagaan.

Mewakili tiga lelaki transgender itu ialah peguam Aston Paiva.

Bagaimanapun ketiga-tiga mereka tidak hadir pada prosiding yang bermula pukul 9.30 pagi tadi.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain