suria

Kes Bunuh: Polis Percaya Datuk Seri Kenal Pembunuhnya

Mendiang Datuk Seri Law Yeong.

IPOH: Polis sedang menyiasat mereka yang rapat dengan ahli perniagaan, Datuk Seri Law Yeong Chow, yang diculik di Bukit Mertajam sebelum dibunuh.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Risikan/Operasi Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, mayat mendiang yang terbakar ditemui di Lumut pada 16 Januari lalu, dipercayai diculik oleh individu yang mengenalinya.

"Berdasarkan rakaman daripada kamera litar tertutup (CCTV) di pusat refleksologi, mendiang tidak mempertahankan diri dan pergi bersama-sama dengan dua lelaki yang datang menemuinya.

"Ini menunjukkan beliau mengenali mereka," katanya kepada pemberita selepas perjumpaan bulan IPK negeri di sini, Selasa.

Tambahnya, Law mempunyai perniagaan dalam sektor perlombongan, perladangan dan pembuatan, dan siasatan menunjukkan beliau tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.

Kes bunuh ahli perniagaan berusia 43 tahun itu sedang disiasat oleh polis Perak manakala polis Pulau Pinang sedang menyiasatnya bagi kes penculikan.

Artikel Lain