suria

Transgender: Mahkamah Persekutuan Tolak Permohonan Mencelah

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan pada Selasa menolak permohonan mencelah oleh lima Majlis Agama Islam dalam kes membabitkan lelaki Islam berpakaian perempuan.

Kelima-lima pihak itu ialah Majlis Agama Islam Selangor, Perak, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Johor dan Pulau Pinang.

Panel lima Hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai Tan Sri Md Raus Sharif hanya membenarkan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan sebagai pencelah dalam kes tersebut.

Mahkamah Persekutuan bersidang hari ini bagi mendengar permohonan merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan berhubung tiga transgender lelaki Islam mengenakan pakaian perempuan.

Pada 7 November tahun lepas, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan dibuat oleh tiga juru mekap pengantin Islam, Muhamad Juzaili Mohamad Khamis, 26; Syukor Jani, 28; dan Wan Fairol Wan Ismail, 30 dan mengisytiharkan seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah Negeri (Negeri Sembilan) 1992 sebagai tidak sah dan tidak berperlembagaan.

Mahkamah Rayuan mengubah keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan semakan kehakiman tiga individu itu supaya seksyen 66 berkenaan diisytiharkan sebagai tidak berperlembagaan.

Artikel Lain