YANG Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul memaklumkan belum menerima sebarang usul tidak percaya untuk dibentangkan pada persidangan Parlimen akan datang."Tidak ada satu pun (usul tidak percaya) yang diterima. Saya belum dengar apa-apa mengenainya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan dialog Negara Bangsa: Membina Jati Diri dan Identiti Nasional pada Rabu. Kenyataan itu susulan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mencabar mana-mana pihak yang mahu menyingkirkan Umno dan Barisan Nasional (BN) daripada Kerajaan Perpaduan supaya membawa perkara tersebut secara rasmi ke Dewan Rakyat melalui usul tidak percaya.Dalam pada itu, Johari berkata beliau juga belum menerima kertas cadangan bagi rang undang-undang (RUU) pemisahan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya serta RUU mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri."Saya dimaklumkan ada perancangan mengenainya, tetapi kertasnya belum saya terima."Biasanya Speaker akan dimaklumkan dua minggu sebelum pembentangan, namun setakat ini saya belum menerima apa-apa," katanya.Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata RUU untuk mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri sudah siap untuk dibentangkan pada sidang Parlimen akan datang.Menurut takwim di laman web Parlimen, Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Parlimen ke-15 akan berlangsung selama 37 hari, bermula 5 Oktober hingga 8 Disember 2026.Belanjawan 2027 pula dijadualkan dibentangkan pada 9 Oktober depan. -The Star