suria

Pakai But Getah, Sarung Tangan Semasa Pembersihan Banjir - KP Kesihatan

Sebahagian penduduk Ladang Sokor, Tanah Merah, menggunakan air dari anak sungai untuk membasuh pakaian setelah bekalan air ke rumah mereka masih terputus selepas banjir teruk pada minggu lepas yang turut menenggelamkan penempatan ladang getah. -fotoBERNAMA

PETALING JAYA: Mangsa banjir dan orang ramai yang membantu dalam kerja-kerja pembersihan dinasihatkan memakai pakaian perlindungan kalis air bagi mengelak daripada penyakit berjangkit.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ketika ini, di mana air semakin surut dan kerja-kerja pembersihan giat dilakukan, penjagaan kebersihan diri dan persekitaran adalah penting untuk mencegah penyakit berjangkit.

"Kementerian Kesihatan menasihatkan orang awam memakai pakaian perlindungan kalis air seperti but getah dan sarung tangan semasa kerja pembersihan di dalam dan sekitar kawasan rumah.

"Selepas pendedahan kepada air, contohnya mengharungi banjir mereka perlulah mencuci atau membasuh bahagian tubuh yang terdedah dengan air bersih dan sabun," katanya dalam satu kenyataan, Isnin.

Menurut beliau, penjagaan kebersihan adalah penting bagi mencegah penyakit berjangkit seperti keracunan makanan, cirit birit dan leptospirosis, tidak hanya ketika banjir, tetapi juga selepas banjir.

Katanya, orang ramai juga perlu mengelak daripada berenang atau bermain air di kawasan banjir.

"Tutup luka-luka kulit dengan balutan kalis air," katanya.

Antara langkah-langkah lain yang disyorkan termasuklah kerap membasuh tangan menggunakan air dan sabun serta membasuh tangan sebelum makan dan selepas ke tandas.

"Elakkan minum air yang tidak dimasak dan makanan mentah seperti sayur-sayuran dan ulam-ulaman.

"Makanan yang dimasak pula perlu segera dimakan dan elakkan menyimpan makanan tersebut melebihi empat jam," katanya.

Sambil menasihatkan agar sampah dan sisa makanan dibuang secara sempurna, beliau juga meminta orang ramai mendapatkan rawatan segera jika mengalami gejala penyakit seperti demam dan cirit-birit.

Artikel Lain