suria

Polis Tahan Lima Lelaki Kes Pecah, Larikan Mesin ATM

Mohd Adnan Abdullah

SHAH ALAM: Polis menahan lima lelaki yang disyaki memecah dan melarikan mesin juruwang automatik (ATM) di sebuah stesen minyak di Bukit Kemuning di sini pada 27 Disember lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Datuk Mohd Adnan Abdullah berkata suspek yang berusia antara 29 dan 39 tahun itu ditahan dalam beberapa serbuan di sekitar Bandar Kinrara (Puchong), Subang Permai dan Bukit Jelutong.

"Mereka ini ditahan pada 29 dan 30 Disember lepas. Melalui siasatan, kita tidak menolak kumpulan ini turut terlibat dalam cubaan melarikan mesin ATM di Seksyen U16 dan U8 di Bukit Jelutong di sini pada 19 Oktober dan 15 Disember lepas," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini, Isnin.

Beliau berkata, hasil serbuan itu, polis turut merampas wang tunai berjumlah RM27,560, sebuah Toyota Hilux, sebuah Perodua Kancil, pelbagai jenis telefon bimbit dan beberapa peralatan besi yang digunakan dalam kegiatan jenayah terbabit.

Siasatan awal mendapati tiga daripada mereka turut memiliki rekod jenayah melibatkan kes samun dan curi kenderaan.

"Kesemua suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan mereka boleh dikenakan penjara sehingga 20 tahun dan sebatan," katanya.

Sementara itu dalam kes lain, polis Selangor sedang memburu seorang lelaki bagi membantu siasatan kes samun di Bukit Lanchong, Putra Heights pada 23 Disember lepas.

Mohd Adnan berkata suspek dikenal pasti sebagai Muhamad Fuad Mat Isa berusia 25 tahun yang berasal dari Taman Dagang, Ampang.

"Suspek dipercayai terlibat dalam melakukan kegiatan samun berkumpulan ke atas seorang ahli perniagaan dan mangsa mendakwa kehilangan wang tunai berjumlah RM1.65 juta beserta 40 kepingan emas yang setiap satunya seberat 100 gram.

"Susulan kejadian itu, polis telah berjaya memberkas tujuh suspek termasuk seorang lelaki Indonesia berusia antara 20 dan 50 tahun pada 27 Disember lepas," katanya.

Mohd Adnan berkata orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan Muhamad Fuad diminta menghubungi Pegawai Risikan Operasi Ibu Pejabat Polis Subang Jaya, Asisten Superintendan Rodney Pasla Haris ditalian 0168977664 atau mana-mana balai polis berdekatan.

Artikel Lain