suria

Liow Sambut Baik Cadangan Siasat KLIA2

Liow (dua,kanan), menerima replika cek bernilai RM150,000 dan barangan bantuan banjir dari Ketua Pegawai Eksekutif Mah Sing Group Berhad, Ng Chai Yong (dua,kiri) pada Majlis Penyerahan Bantuan Bencana di Wisma MCA, Kuala Lumpur pada Isnin. -fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Liow Tiong Lai  mengalu-alukan cadangan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) supaya Ketua Audit Negara (AG) menyiasat KLIA2 berikutan dakwaan salah urus.

Liow yang juga Menteri Pengangkutan berkata, beberapa individu yang menuduh beliau mengabaikan cadangan itu telah membuat tuduhan tidak berasas.

"Saya menyokong sepenuhnya cadangan PAC agar AG menyiasat keseluruhan situasi," katanya selepas menyerahkan bantuan untuk mangsa banjir di Ibu Pejabat MCA di sini Isnin.

Baru-baru ini ahli PAC, Tony Pua mendakwa Liow mengabaikan cadangan PAC yang dibuat pada 26 November lalu.

Antara lain, Pua mendakwa laporan PAC terhadap projek KLIA2 yang dilaporkan wujud 'salah urus' dan 'keputusan yang boleh dipertikaikan' sehingga menyebabkan berlaku kelewatan dan kos berlebihan dari RM1.7 bilion kepada RM4 bilion.

Liow turut menegaskan jawatankuasa audit yang ditubuhkan oleh Kementerian Pengangkutan merupakan isu berasingan daripada cadangan yang dikemukakan.

Tambahnya, ia adalah jawatankuasa keselamatan yang ditubuhkan untuk memeriksa dan mengesahkan keselamatan KLIA2 selain memastikan ia beroperasi dengan lancar dan selamat.

Beliau menafikan dakwaan bahawa Kementerian Pengangkutan sengaja untuk melengah-lengahkan atau menghalang AG daripada menyiasat isu tersebut.

Liow berkata, jawatankuasa audit telah mempengerusikan dua mesyuarat dan diminta untuk menyerahkan laporan bagi separuh pertama tahun ini kepada kementerian itu.

Liow Tiong Lai, KLIA2

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain