suria

Rang Undang-Undang Kenaikan Gaji, Elaun Anggota Parlimen Ditangguh

Shahidan Kassim.
KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang Ahli Parlimen (Saraan)(Pindaan) 2014 berkaitan kenaikan gaji dan elaun Anggota Parlimen ditangguhkan untuk dibentang pada sidang Dewan Rakyat akan datang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim ketika memaklumkan perkara itu berkata semua kertas dan dokumen berkenaan rang undang-undang itu pada perbahasan kali ini, ditarik balik.

Dewan sebelum itu membahaskan rang undang-undang berkenaan untuk bacaan kali kedua pada kira-kira 7.30 malam sebelum berhenti rehat pada 7.50 malam setelah tiada persetujuan dicapai mengenai perkara yang dibincangkan.

Beberapa Anggota Parlimen meminta ia disemak semula dengan memohon amaun lebih tinggi berbanding Anggota Dewan Undangan di beberapa negeri, dengan alasan mereka menggalas pelbagai tanggungjawab dan tugas yang semakin banyak dan mencabar.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin kemudian meminta semua pihak bertenang dan menunggu pengumuman Shahidan mengenainya.

Semalam, rang undang-undang itu yang turut menyentuh kenaikan gaji Yang Dipertua dan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat serta Yang Dipertua dan Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara dibentang untuk bacaan kali pertama.

Gaji bulanan anggota Dewan Rakyat dicadangkan naik daripada RM6,508.59 kepada RM11,000, anggota Dewan Negara (RM4,112.79 kepada RM7,000), Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara dan Dewan Rakyat (daripada RM10,847.65 kepada RM16,000) dan Yang Dipertua Dewan Negara dan Dewan Rakyat (daripada RM14,707.20 kepada RM20,000).


Ketika ini, Anggota Parlimen menerima gaji pokok RM6,508.59 sebulan selain elaun bulanan RM5,000 bagi menampung perbelanjaan keraian, gaji pemandu, perjalanan dan bil telefon bimbit.

Mereka juga dibayar elaun mesyuarat RM200 sehari apabila menghadiri persidangan Dewan Rakyat dan elaun harian RM150 bagi menghadiri mesyuarat dengan agensi kerajaan.

Pada 2011, kerajaan menarik balik cadangan menaikkan gaji dan elaun 222 anggota Parlimen berikutan bantahan Anggota Parlimen pembangkang.

Dalam pembentangan Bajet 2015, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata elaun anggota Dewan Rakyat akan dinaikkan daripada bersamaan gred 54 kepada bersamaan Jusa C manakala elaun anggota Dewan Negara akan dinaikkan daripada bersamaan gred 48 kepada bersamaan antara gred 54 dan Jusa C.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain