suria

Pindaan Tiga Rang Undang-Undang Liberalisasi Perkhidmatan Profesional Diluluskan

Fadillah Yusof.
KUALA LUMPUR: Persidangan Dewan Rakyat pada Khamis meluluskan pindaan tiga rang undang-undang di bawah Kementerian Kerja Raya bagi meliberalisasi sektor perkhidmatan profesional iaitu jurutera, arkitek dan juruukur bahan dengan membuka penyertaan dan pegangan ekuiti pihak asing.

Rang undang-undang terbabit ialah Rang Undang-Undang Pendaftaran Jurutera (Pindaan) 2014, Rang Undang-Undang Arkitek (Pindaan) 2014 dan Rang Undang-Undang Juruukur Bahan (Pindaan) 2014.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata pindaan itu seiring dengan agenda kerajaan untuk meliberalisasikan lagi industri perkhidmatan bagi menarik pelaburan langsung asing (FDI).
 
"Secara keseluruhannya pindaan ini akan mempertingkat penyampaian dan kualiti perkhidmatan subsektor berkaitan supaya ia setanding dengan standard luar negara dan mampu menjadi tarikan pelaburan dan perdagangan.
 
"Ia juga menggalakkan persaingan sihat selain memperbanyakkan peluang bagi kepakaran negara untuk menceburi pasaran baharu di luar negara," katanya semasa membentangkan rang undang-undang berkenaan di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Pindaan ketiga-tiga rang undang-undang itu diluluskan selepas dibentangkan untuk bacaan kali ketiga oleh Fadillah.

Pindaan berkenaan sepatutnya dibentangkan pada 2012 tetapi mendapat bantahan beberapa pihak dan ditangguhkan bagi mendapatkan maklum balas daripada pihak berkaitan.

Mengenai kebimbangan bahawa persaingan terbuka akan memberi impak buruk kepada profesional tempatan, Fadillah berkata pindaan itu akan tetap menjamin peluang profesional tempatan dan kepentingan awam.
 
"Sebagai permulaan, hanya 30 peratus ekuiti dibuka untuk penyertaan luar dan akan dikembangkan sehingga 100 peratus jika perlu.
 
"Sebab itu, kita buka sedikit dahulu di mana mereka (profesional luar) boleh membuat amalan mereka di Malaysia dengan beberapa syarat termasuk melalui temuduga dan peperiksaan bagi menentukan mereka benar-benar layak dan memahami amalan tempatan," jelasnya.

Artikel Sebelum

Artikel Lain